Sabtu, 17 November 2018 | 8:02am
SYEIKHUL Ruwaq Jawi di Mesir, Mohd Nazrul Abd Nasir al-Azhari. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SYEIKHUL Ruwaq Jawi di Mesir, Mohd Nazrul Abd Nasir al-Azhari. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pendidikan perlu tekankan sirah, keperibadian Nabi

PADANG TERAP: Pengajaran sirah dan keperibadian Nabi Muhammad SAW pernah menjadi sukatan pelajaran yang utama dalam sistem pendidikan Kerajaan Turki Uthmaniyah.

Penekanan terhadap sirah dan sahsiah itu, melambangkan tekad khilafah berkenaan untuk membina masyarakat khususnya generasi muda dan baharu yang sempurna.

Syeikhul Ruwaq Jawi di Mesir, Mohd Nazrul Abd Nasir al-Azhari, berkata guru pada zaman Uthmaniyah yang mampu mengajar ilmu itu akan diberikan gaji khas berikutan fungsinya yang sangat besar dalam membentuk akhlak umat Islam ketika itu.

“Oleh itu empayar Uthmaniyah dikagumi dan bertahan 600 tahun sehingga abad ke-20 dengan sistem madrasah yang diamalkan sangat berpengaruh.

“Guru dalam empayar itu pula mampu mengajar kitab Syamail Muhammadiyah karangan Imam Tirmizi dan kitab as-Shifa karya Qadi Iyadh sangat dihargai.

“Pengajian dan pengajaran melalui kitab ini akan mendekatkan masyarakat Islam dengan insan yang membawa syariat, iaitu Rasulullah SAW,” katanya kepada BH ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pinang, Pedu di sini.

Mohd Nazrul berkata, dalam konteks pembahagian ilmu dalam Islam, ilmu mengenali Rasulullah SAW menjadi fardu ain hingga wajib dipelajari oleh Muslim,”

Beliau yang juga Pengarang Kitab As-Syamil Fi Khulasatis Syamail (Kesempurnaan Peribadi dan Akhlak Rasulullah) berkata, hal itu boleh dicontohi oleh Malaysia dengan turut menyerlahkan pengajaran sirah dan keperibadian Nabi Muhammad SAW dalam sistem pendidikan.

Mengenai penulisan kitab mengenai keperibadian Nabi Muhammad SAW, Mohd Nazrul berkata, beliau menghasilkan kitab As-Syamil Fi Khulasatis Syamail untuk memudahkan orang ramai memahami kitab dalam siri syamail (kesempurnaan Nabi SAW).

Katanya, selepas itu orang ramai boleh meneruskannya dengan mempelajari kitab Syamail Muhammadiyah dan As-Shifa.

“Kita perlu mengetahui cara Rasulullah SAW berkomunikasi dengan masyarakat dan sahabat termasuk cara Baginda bermuamalat apatah lagi zaman yang serba mencabar ini menuntut kita untuk mencontohi Baginda.

“Umat Islam kini sudah ‘liar’ ibarat kambing yang terlepas daripada tali tuannya, iaitu Rasulullah SAW hingga perlu kembali kepada Baginda.

“Apabila kambing kembali kepada tuannya, maka kita tidak akan sesat dimakan serigala seperti yang disebut dalam hadis,” katanya.

Beliau memetik sabda Rasulullah SAW: “Tiadalah dari suatu desa atau sahara yang berpenduduk tiga orang (atau lebih) yang tidak didirikan solat (jemaah) kecuali syaitan menguasai mereka. Maka tetaplah kamu berjemaah, sesungguhnya serigala itu hanyalah menerkam kambing yang terpencil dari kawanannya.” (HR Abu Daud dan Nasa’i)

Jelas beliau, dengan mengangkat kembali ilmu sunnah Nabi Muhammad SAW, umat Islam pada zaman sekarang akan terselamat daripada kemurkaan Allah.

Syamail Muhammadiyah diiktiraf sebagai kitab yang terkenal dan diterima dalam memberikan gambaran Nabi Muhammad SAW.

Kitab karangan ulama hadis kelahiran Tirmiz (kini Uzbekistan) itu, menjelaskan penampilan fizikal, tabiat dan rutin kehidupan Nabi Muhammad SAW, selain menyorot ibadat serta kerohanian Baginda.

Beliau menghimpunkan hadis yang diriwayatkan Sahabat RA dan ahli keluarga Nabi Muhammad SAW sehingga membacanya akan menjadikan kita lebih mengenali susuk serta peribadi Baginda.

As-Shifa atau judul panjangnya, as-Shifa bi Ta’rifi Huquq al-Mustafa pula dikarang oleh Qadi Iyadh yang dilahirkan di Ceuta ketika Dinasti Almovarid memerintah wilayah itu yang kini di Sepanyol dan pernah menjadi Kadi Kerajaan Amiriah Granada.

Kitab itu menjelaskan kehidupan Nabi Muhammad SAW termasuk ketinggian keperibadian dan mukjizat Baginda.

Berita Harian X