Rabu, 29 Ogos 2018 | 2:10pm
FOTO hiasan
FOTO hiasan

Pejuang LGBT tidak hormat fatwa haram tukar jantina

NILAI: Tindakan memperjuangkan hak bagi golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) jelas tidak menghormati fatwa yang menisbahkan hukum haram bagi seseorang individu menukar jantina, termasuk dengan cara pembedahan.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Abdul Manan Ismail, berkata golongan LGBT di negara ini perlu akur kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan seseorang yang dilahirkan lelaki tetap lelaki, begitu juga sebaliknya.

“Apabila mereka menuntut pelbagai perkara, ia seolah-olah menunjukkan golongan ini dan pihak yang menyokong tidak menghormati fatwa.

Elak permainkan hukum

“Hukum dan fatwa cukup jelas, apa yang penting ia perlu dikuatkuasakan supaya tidak dipermainkan oleh pihak tertentu atau berkepentingan,” katanya kepada BH di USIM di sini.

Abdul Manan berkata, bukan sahaja Islam, bahkan mana-mana kaum dan agama juga tidak mengiktirafnya kerana fitrah kejadian manusia sepatutnya dihargai, sekali gus perlu menerima hakikat hidup yang dicipta secara berpasang-pasangan.

“Mungkin ada antara mereka fikir atau berasakan lebih suka menjadi jantina sebaliknya, tetapi hakikatnya Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk kita. Maka, ia perlu disyukuri, bukannya memberontak dan membiarkan diri berada dalam kesesatan,” katanya.

Abdul Manan berkata, langkah bagi menyelamatkan transgender perlu dilaksanakan dalam kerangka yang menyeluruh dan bukannya bersifat semberono.

Banteras LGBT

“Kadang-kadang kita hanya pandai cakap sahaja, tetapi tidak ambil tindakan atau langkah yang wajar. Perlu ada perancangan untuk menyelamatkan golongan ini dan ia mesti dilaksanakan secara sistematik supaya tidak pula kita terpengaruh dan diheret sama. Paling utama kegiatan ini perlu dibanteras,” katanya.

Abdul Manan berkata, prinsip agama perlu dipandu secara jelas mengikut fatwa dalam usaha menyedarkan golongan ini, bahkan cara menyantuni juga perlu diperincikan semula supaya ia tidak dilihat seolah-olah mengiktiraf pelbagai tuntutan mereka.

“Isu ini pada pandangan saya memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk ilmuwan agama dalam memikirkan strategi terbaik kerana kita tidak harus dilihat seakan berkompromi dengan mereka.

“Rasulullah SAW menyebut, sesiapa yang lihat kemungkaran, maka tegurlah dengan perbuatan, jika tidak mampu gunakan lidah (nasihat) dan cara terakhir doa di dalam hati,” katanya.

Katanya, kerajaan sebagai pihak berwajib dan mempunyai autoriti disarankan tampil dengan langkah bijaksana supaya perkara ini tidak terus menjadi pertikaian.

“Saya lihat, sekiranya ada iltizam politik, perkara ini pasti dapat diselesaikan. Isunya sekarang, adakah kita betul-betul hendak membanteras perkara ini atau sebaliknya. Jika mahu ia diselesaikan, pasti boleh kerana kuasa di tangan kita,” katanya.

Kembali kepada fitrah

Beliau turut mengulas cadangan membenarkan golongan transgender menggunakan tandas orang kurang upaya (OKU) kerana ada sesetengah pihak, termasuk kelompok OKU yang menyifatkan ia seakan merampas hak mereka.

“Dalam hal memberikan hak ini, apa yang paling utama memastikan tidak ada pihak yang tertindas. Perlu lihat hak orang lain seperti dalam isu ini, golongan wanita dan hak mereka juga perlu dijaga, terutama aspek keselesaan dan keselamatan.

“Maka, golongan transgender ini perlu kembali pada hukum asal dan isu ini perlu diselesaikan dengan melihat ke peringkat akar umbi kerana pada masa sama golongan seperti gay dan lesbian juga makin ramai cuma mereka kurang diberi perhatian dan dikesan kerana aspek penampilannya tidak begitu ketara,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X