Isnin, 9 Julai 2018 | 6:28pm
PENGETUA Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI), Mohd Zahid Mahmood. - Foto NSTP
PENGETUA Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI), Mohd Zahid Mahmood. - Foto NSTP

Bangkit lepas tragedi kebakaran demi anak tahfiz

PENGETUA Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI), Mohd Zahid Mahmood mengakui kekuatannya untuk meneruskan perjuangan hampir lumpuh apabila berlakunya tragedi kebakaran membabitkan 23 warganya tahun lalu.

Pada mulanya, beliau mengakui sukar menerima kenyataan apabila dipilih oleh Allah SWT untuk berdepan dengan ujian sedemikian, namun berusaha untuk bangkit apabila mengenangkan nasib anak-anak yang memerlukan didikan al-Quran.

Pertemuan empat mata dengan figura berasal dari Kelantan ini merungkai sisi peribadinya terutama isi hati seorang lelaki yang selama lebih 15 tahun mengambil peranan sebagai bapa kepada anak-anak tahfiz DQI.

Ditemui BH Agama di premis DQI, terletak di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur, figura yang sentiasa tersenyum itu bersyukur kerana masih diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk meneruskan legasi tahfiz yang diasaskannya.

"Selepas kejadian, jika diikutkan daripada apa yang berlaku, sememangnya terlalu perit sehingga saya fikir tidak mampu lagi untuk menguruskan DQI lagi.

"Dalam hati saya, hanya Allah SWT yang tahu sehingga setiap malam tidak boleh melelapkan mata bahkan apabila sudah tertidur akan kerap terjaga terutama ketika tempoh sebulan pertama selepas kejadian itu berlaku," katanya.

Pernah berhenti tahfiz

Tambah Mohd Zahid, beliau amat bersyukur kerana mampu mengubat jiwa yang lara berkat sokongan banyak pihak, sekali gus dapat membantu lebih ramai anak-anak yang kurang berkemampuan untuk bergelar huffaz yang berjaya di dunia dan akhirat.

Kisah hidupnya sendiri yang penuh berliku khususnya kesulitan dialami untuk meneruskan pengajian tahfiz dijadikan inspirasi supaya terus cekal dalam menghadapi pelbagai kesukaran hidup.

"Saya pernah diberhentikan daripada sebuah pusat tahfiz kerana keluarga tidak mampu membayar yuran sebanyak RM80 sebulan.

"Kemudian, saya berhijrah ke ibu kota untuk mencari pekerjaan dan pernah menjadi imam di surau serta masjid.

"Daripada rezeki itu, maka impian menyambung pengajian ke Pakistan akhirnya tercapai dan ketika berada di sana, kami pelajar Malaysia banyak melakukan kerja amal kerana sedih melihat kesusahan rakyatnya yang hidup melarat bahkan ramai yang tidak bersekolah," katanya.

Beliau berkata, mereka pernah menyewa satu rumah yang dijadikan sekolah transit secara percuma dan turut memberikan makanan percuma kepada golongan memerlukan.

Buka restoran, bantu tahfiz

Tidak mahu melihat keadaan sama berlaku di tanah air sendiri, sebaik pulang ke tanah air, Mohd Zahid berazam untuk membuka pusat pengajian tahfiz khusus bagi anak miskin tanpa mengenakan sebarang yuran.

"Selepas tamat pengajian di Pakistan, saya mula mencari pelajar dengan mengutamakan mereka yang kurang berkemampuan sehingga diberhentikan dari sekolah dan anak yatim.

"Pernah dalam pengalaman saya menerima anak nelayan seramai lapan orang, mereka ini datang dengan pakaian biasa, maka pihak tahfiz kemudian mengambil inisiatif menyediakan jubah dan kelengkapan pengajian," katanya.

Mohd Zahid berkata, beliau turut menggerakkan perniagaan bagi membantu kos pentadbiran dan pengurusan tahfiz, termasuk dengan membuka restoran yang beroperasi bersebelahan premis tahfiz sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, menyedari komitmen kewangan bulanan menguruskan pusat tahfiz tanpa yuran memerlukan dana besar, ia juga salah satu usaha untuk membiayai sekurang-sekurangnya gaji guru atau mengurangkan kos penyediaan makanan pelajar.

Katanya, usaha sedemikian jauh lebih bermanfaat berbanding membuat tabung atau kempen derma yang turut membabitkan pelajar tahfiz sendiri.

Tahfiz dihujani dakwaan negatif

Zahid yang turut memikul tanggungjawab besar sebagai Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) itu turut komited dalam memperjuangkan pusat tahfiz di seluruh negara.

Beliau mengakui, tragedi kebakaran di pusat tahfiz DQI membuka lembaran baharu kepada semua pusat tahfiz termasuk turut dihujani pelbagai dakwaan negatif dan antara yang paling disebut-sebut adalah soal keselamatan pelajar.

"Selepas kejadian itu, hampir tiga bulan PINTA dan persatuan tahfiz di peringkat negeri tidak bergerak. Insitusi tahfiz boleh dikatakan duduk dalam keadaan berhati-hati, tidak kurang juga yang dihentam dengan begitu keras sekali.

"Bagaimanapun, wakil PINTA di seluruh negeri datang berjumpa saya dan hadir memberikan sokongan jitu selepas tragedi kebakaran itu untuk meneruskan perjuangan, bahkan mereka pula hairan melihat saya masih mampu tersenyum dengan apa yang terjadi," katanya.

PROFIL
Mohd Zahid Mahmood

Asal: Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan

Tarikh lahir: 2 Januari 1970

Status: Berkahwin, mempunyai enam orang anak

Pendidikan:

1. Diploma Tahfiz al-Quran di Maahad Tahfiz Al Balaghumubin, Pasir Mas

2. Ijazah bidang syariah dan al-Quran di Uloom Islamiah, Karachi, Pakistan

Kerjaya: Pengetua Tahfiz DQI, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kuala Lumpur dan Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA)

Berita Harian X