X
Sabtu, 21 April 2018 | 8:11am
AGAMA tidak mengajar kita takut dengan kesusahan, tetapi berdoa supaya kesusahan dapat dipikul. - Foto hiasan
AGAMA tidak mengajar kita takut dengan kesusahan, tetapi berdoa supaya kesusahan dapat dipikul. - Foto hiasan

Israk Mikraj singkap rantaian kehidupan

RANTAIAN kehidupan yang berubah daripada senang kepada susah, kemudian kembali senang sebelum berdepan lagi kesukaran adalah proses normal perlu dilalui setiap manusia dan ia tidak bersalahan penjelasan sains mengenai kehidupan.

Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Faisal Abdul Hamid, berkata melihat kepada rantaian itu ahli sejarah menjelaskan bahawa satu peristiwa tidak berlaku begitu sahaja, tetapi bermula dengan cerita kecil yang menghasilkan cerita besar.

Katanya, rantaian itu yang menjadikan Rasulullah SAW, contoh paling ideal sebagai manusia hebat yang berdepan pelbagai kesusahan sejak kecil apabila kehilangan bapa, ibu dan datuk. Tidak terhenti di situ, Baginda SAW diuji dengan kematian anak, bapa saudara dan isteri.

"Kenapa Allah SWT takdirkan itu kepada Nabi Muhammad SAW, ulama mengatakan di sebalik kesusahan dan kesenangan itulah Baginda menjadi hebat. Agama tidak mengajar kita takut dengan kesusahan, tetapi berdoa supaya kesusahan dapat dipikul," katanya.

Pada ceramah perdana Israk Mikraj anjuran Badan Khairat The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) baru -baru ini, beliau berkata, perjalanan dilalui Nabi Muhammad SAW itu mengandungi inti pati yang disebut secara terus atau menerusi petunjuk oleh Allah SWT.

Ia menepati firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, serta silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal." (Surah Ali-Imran, ayat 190)

Bukti kekuasaan

Menurut Faisal, perjalanan dilalui Nabi Muhammad SAW ketika Israk dan Mikraj adalah mukjizat ditunjukkan Allah SWT yang membuktikan kekuasaan-Nya untuk melanggar aturan alam iaitu disebut sebagai 'sunatullah'.

Beliau berkata, walaupun hidup di dunia ada peraturannya berdasarkan sebab dan akibat yang memberi keyakinan kepada manusia, Allah SWT boleh mengubahnya kerana peraturan itu tidak mutlak.

"Sifat api membakar, tetapi Nabi Ibrahim tidak terbakar ketika dicampakkan ke dalam api. Nabi Adam dilahirkan tanpa ibu dan bapa. Sebenarnya banyak yang Allah ubah tetapi kita tidak perasan," katanya.

Bagi umat Islam, mereka perlu tahu kesudahan atau akibat daripada kehidupan di dunia ini adalah untuk meraih syurga Allah SWT dan peraturan yang ditetapkan ialah dengan beriman dan melakukan amal soleh.

Kebiasaannya rasa bertawakal wujud ketika seseorang berdepan kesusahan dan sifat manusia apabila diuji dengan kesukaran akan berpaling kepada orang yang penting, mempunyai wibawa serta dipercayai boleh menyelesaikan masalah itu.

Umat Islam akan bertawakal kepada Allah SWT untuk mendapatkan apa yang diinginkan kerana yakin hanya kepada-Nya yang memiliki kekuasaan kita boleh menyerahkan segala-galanya.

Faisal berkata, pengalaman dilalui Nabi Muhammad SAW mendorong Baginda bertawakal kepada Allah SWT; sebagai balasannya Baginda melalui pengalaman Israk dan Mikraj yang juga menjadi petunjuk kepada manusia bahawa di sebalik kesusahan bakal menanti kesenangan.

Katanya, ia adalah proses yang berulang kerana manusia tidak akan senang selamanya atau diuji sepanjang hidupnya, tetapi mereka perlu yakin dan beriman kepada Allah SWT. 

Sementara itu, hendak menuju kepada Allah SWT perlu dilakukan dalam keadaan sedar iaitu melakukan segala perintah serta meninggalkan larangan kerana faham hikmah segala tuntutan itu.

"Sebelum Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW tidur di rumah Ummu Hani dan Baginda dikejutkan oleh Malaikat Jibril. Inilah bukti Allah SWT mahukan kita taat dalam keadaan sedar, tahu apa batas yang boleh serta tidak boleh dilanggar," katanya.

Berita Harian X