Isnin, 6 Oktober 2014 | 4:21pm
Laman sesawang iProperty.com

iProperty.com lancar anugerah pemaju hartanah pilihan pelanggan

KUALA LUMPUR: Laman sesawang iProperty.com akan melancarkan anugerah pertama pemaju hartanah pilihan pelanggan.

Mengikut iProperty.com, anugerah itu adalah antara usaha untuk memberi pengiktirafan sewajarnya kepada pemain industri hartanah tempatan.

Dinamakan Anugerah Pilihan Ramai iProperty.com, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan iProperty, Georg Chmiel, berkata anugerah itu bertujuan mengiktiraf pemaju hartanah terbaik di negara ini semata-mata daripada perspektif pengguna.

"Kami berasa bangga untuk menjadi hos kepada Anugerah Pilihan Ramai iProperty.com, pertama seumpamanya di Malaysia.

"Anugerah itu menawarkan kita platform untuk lebih rapat dengan pengguna dan memberi mereka peluang mengundi pemaju atau pembangun pilihan mereka dalam 10 kategori yang kami tetapkan," kata Chmiel.

Katanya, 10 kategori berkenaan termasuk Pemaju Terbaik, Perbandaran Terbaik, Pembangunan Bangunan Tinggi Terbaik, Pembangunan Bangunan Tinggi Mewah Terbaik, Pembangunan Perumahan Bertanah Terbaik, Pembangunan Perumahan Bertanah Mewah Terbaik, Pembangunan Mesra Eko Terbaik, Pembangunan Komersial Terbaik dan Pembangunan Bersepadu Terbaik dan Pembangunan Paling Ikonik.

"Kami menjemput semua warga Malaysia mengundi untuk memilih pemaju atau pembangunan paling digemari mereka di www.iproperty.com.my/awards.

Undian akan bermula pada 7 Oktober dan ditutup pada 31 Oktober 2014," kata Chmiel. - BERNAMA

Berita Harian X