Rabu, 25 November 2015 | 3:03pm

Kerajaan negeri sedia pelan pembangunan kawasan potensi pelancongan

 Datuk Seri Masidi Manjun.
Datuk Seri Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menyediakan pelan pembangunan bagi kawasan berpotensi untuk sektor pelancongan.

Menterinya, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pelan itu terdiri daripada Pelan Induk Pelancongan Negeri 2010-2025, Pelan Induk Pelancongan bagi pesisir pantai antara Tuaran dan Kota Belud, dan Pelan Induk Pelancongan bagi pantai barat utara antara Kota Marudu dan Kudat.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Dr Edwin Bosi (DAP-Kepayan) yang bertanyakan sama ada kerajaan menyediakan pelan induk untuk kawasan potensi pelancongan.

Terdahulu, Masidi turut menjelaskan kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan semula industri pelancongan Sabah selepas insiden gempa bumi dan masalah keselamatan di perairan pantai timur yang menjejaskan aktiviti pelancongan di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, kementeriannya melalui Taman-Taman Sabah (TTS) telah melaksanakan kerja-kerja baik pulih secara intensif seperti pembaikan infrastruktur pelancongan ke kemuncak Gunung Kinabalu, pembaikan kemudahan penginapan dan menaik taraf perkhidmatan malim serta porter ke Gunung Kinabalu.

"Hasil usaha intensif ini, Pendakian ke Puncak Low Gunung dijangka dibuka semula kepada orang awam pada 1 Disember ini.

"Malahan agensi pengembaraan sudah mula menerima tempahan mendaki gunung bagi tahun 2016," katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata kementeriannya turut menggalakkan lebih banyak penerbangan terus berjadual dan sewa khas ke Sabah untuk meningkatkan daya hubung udara serta melaksanakan misi jualan dan pameran pelancongan sebagai promosi kepada pelancongan di negeri ini yang turut terjejas ekoran isu keselamatan di pantai timur.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membelanjakan RM19 juta bagi kerja-kerja pembersihan rintis talian pembekal elektrik di seluruh Sabah.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM1.86 juta telah digunakan bagi daerah Tuaran termasuk Kiulu.

"Aktiviti ini telah berjaya meningkatkan daya harap sistem bekalan elektrik di kawasan Kiulu dan indeks Tempoh Purata Gangguan Sistem (SAIDI) turut berjaya dikurangkan dari lingkungan sembilan minit kepada tiga minit sebulan," katanya lagi.

Joseph menjawab soalan Datuk Joniston Lumai (BN-Kiulu) mengenai tindakan yang diambil kerajaan negeri unutk mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik di Kiulu.

- BERNAMA

Berita Harian X