Selasa, 24 November 2015 | 11:51pm

Burger King sedia RM15j konsep 20/20 Garden Grill

KETUA Pegawai Eksekutif Burger King Malaysia dan Singapura, Ng Lee Tieng. - Foto Surianie Mohd Hanif
KETUA Pegawai Eksekutif Burger King Malaysia dan Singapura, Ng Lee Tieng. - Foto Surianie Mohd Hanif

BURGER King Malaysia yang kini dikuasai pemegang saham baharu, mengambil langkah agresif dalam memulakan hala tuju perniagaan baharunya di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Cosmo Restaurants Sdn Bhd, Ng Lee Tieng, berkata ia bertujuan mengembalikan jenama rangkaian restoran makanan segera yang terkenal dengan burger Whopper di negara ini.

Katanya, antara lain syarikat komited membelanjakan antara RM10 juta hingga RM15 juta melaksanakan penambahbaikan kosmetik berkonsepkan 20/20 Garden Grill untuk baki 21 daripada 45 rangkaian restorannya di seluruh negara.

Beliau berkata, pemegang francais rangkaian restoran makanan segera itu juga sudah menurunkan secara ketara harga hidangan yang dijual, tanpa berkompromi berhubung kualiti makan dan perkhidmatan ditawarkan.

"Kami mengekalkan 10 set hidangan yang dikenali pelanggan Burger King selama ini, tetapi ditawarkan pada harga lebih mampu bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Burger King. Sebagai contoh, set hidangan Whopper yang sebelum ini dijual pada harga RM15.45, kini dijual pada harga sekitar RM11.50.

"Pelanggan dapat menikmati burger yang sama dari segi saiz dan kualiti, cuma kali ini kita bersedia untuk menerima marjin keuntungan yang lebih kecil bagi meraih skala ekonomi," katanya dalam temu bual dengan BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Newscape Capital Sdn Bhd kini adalah pemegang saham majoriti dalam Cosmo Restaurants, iaitu pemegang francais rangkaian restoran Burger King di Malaysia dan Singapura. Cosmo Restaurants menguruskan 45 cawangan restoran Burger King di Malaysia.

Promosi pertama Burger King sejak ia diambil alih pemegang saham baharu itu ialah memperkenalkan hidangan Double Black Pepper with Cheese pada harga RM12.95 yang ditawarkan untuk tempoh terhad.

Lee Tieng berkata, ketika ini Burger King sedang mempromosikan Star Meals, burger ayam atau lembu yang didatangkan bersama minuman ringan dan kentang goreng.

Katanya, set hidangan Chick'n Crisp ditawarkan pada harga promosi menarik RM6.50, manakala hidangan Cheese Burger pula pada RM6.95.

"Promosi selama tiga bulan bermula 15 November lalu," katanya sambil menambah Burger King akan memperbanyakkan lagi promosi waktu terhad pada masa akan datang sebagai satu daripada strategik menarik lebih ramai pengunjung.

Mengenai konsep 20/20 Garden Grill yang sudah pun diperkenalkan di beberapa lokasi di negara ini, Lee Tieng berkata, ia selaras usaha pengubahsuaian imej dalaman Burger King di seluruh dunia.

Katanya, reka bentuk dikenali sebagai 20/20 Garden Grill mengembalikan tradisi memanggang daging Burger King pada persekitaran BBQ di luar rumah.

Beliau berkata, 20/20 Garden Grill dibangunkan selaras prinsip rekaan dalaman Burger King dalam menampilkan keaslian, keramahan dan estetika yang berani.

"Rekaan dalam baharu itu menampilkan kolaj mencerminkan warisan jenama itu yang diperbuat daripada gabungan tembaga, bata, kayu dan buluh, yang menambah kepada suasana keaslian Burger King," katanya.

Berita Harian X