X
Selasa, 24 November 2015 | 5:27pm
AKSI Steven Gerrard ketika masih menyarung jersi pasukan Liverpool. - Foto AFP
AKSI Steven Gerrard ketika masih menyarung jersi pasukan Liverpool. - Foto AFP

Gerrard kembali sarung jersi Liverpool bagi perlawanan 'legenda'

LONDON: Bekas bintang Liverpool, Steven Gerrard kembali menyarung jersi keramat The Reds selepas bersetuju untuk beraksi bersama pasukan 'legenda' kelab itu di Australia, tahun depan.

Gerrard ketika ini diberikan rehat oleh kelabnya, Los Angeles Galaxy selepas musim Liga Bola Sepak Amerika berakhir sejak meninggalkan Liverpool, awal tahun ini.

Bekas kapten Liverpool itu sudah bercakap dengan pengurus The Reds, Jurgen Klopp untuk menjalani latihan di Melwood apabila kembali ke Merseyside.

Begitupun, bukan saja berlatih, namun pemain tengah berusia 35 tahun itu juga akan memakai jersi Liverpool di Sydney pada Januari depan bersama bekas rakan sepasukannya antaranya Jamie Carragher, Dietmar Hamann dan John Arne Riise.

Mereka akan beraksi dalam pasukan Legenda Liverpool yang dikendalikan bekas pengurus, Gerard Houllier menentang pasukan dari Australia.

"Adalah hebat untuk bermain bersama pasukan Legenda Liverpool yang rasmi," katanya.

"Skuad itu nampak hebat dengan pemain-pemain yang disenaraikan. Bagus untuk kembali ke padang bersama mereka. Peminat kami adalah yang terbaik dan bermain di depan mereka sekali lagi pasti sesuatu yang emosional. - AFP

Berita Harian X