Isnin, 23 November 2015 | 12:00am

Sistem jana tenaga suria untuk menara telekomunikasi

SISTEM Penjejak Matahari Dwi-Paksi untuk menara telekomunikasi di Taman Inovasi Teknologi Hijau, UKM.

INSTITUT Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghasilkan sistem yang menggunakan tenaga suria untuk menjana tenaga elektrik bagi menara telekomunikasi.

Ketua Projek dan Felo Penyelidik Kanan SERI UKM, Dr Lim Chin Haw, berkata Sistem Penjejak Suri Dwi-Paksi itu mampu menjejak sinaran suria secara pintar walaupun dalam keadaan berawan dan cuaca berjerebu.

Katanya, sistem itu juga mampu menyerap tenaga suria maksimum, sekali gus menghasilkan kuasa bateri yang sempurna dan berupaya membekalkan tenaga elektrik selama 24 jam sepanjang tahun, selaras keperluan tenaga peralatan stesen pangkalan telekomunikasi.

"Sistem ini dapat menjana tenaga suria sebanyak 70 peratus lebih tenaga berbanding sistem tenaga suria yang dipasang secara statik.

"Ia dapat menjejak perjalanan matahari serta keadaan awan dalam masa yang sama serta membolehkan bateri dicaj dengan cepat sebaik sahaja matahari terbit.

"Penggunaan tenaga suria adalah alternatif paling sesuai kepada tenaga elektrik daripada grid atau diesel di kawasan pedalaman yang digunakan secara meluas di kebanyakan stesen menara pangkalan telekomunikasi ketika ini.

"Malah, jika sistem suria digunakan, masalah hubungan komunikasi terputus akibat kesukaran membekal diesel ketika banjir besar seperti yang melanda negara tahun lalu boleh dihindarkan," katanya.

BARISAN penyelidik SERI UKM berbangga dengan inovasi sistem yang memanfaatkan tenaga suria untuk menjana tenaga elektrik bagi menara telekomunikasi.

Chin Haw berkata, projek penyelidikan yang dilaksanakan dengan kerjasama Celcom Bhd (Celcom) itu mampu menghasilkan penjimatan kira-kira RM840 juta dalam tempoh lima tahun bagi 2,000 stesen menara pangkalan syarikat telekomunikasi mudah alih berkenaan jika digunakan untuk menggantikan penjana diesel.

"Kos untuk setiap menara telekomunikasi di kawasan pedalaman adalah antara RM5,000 dan RM7,000 sebulan untuk diesel, logistik serta penyelenggaraan penjana diesel.

"Ini bermakna Celcom membelanjakan hampir RM168 juta setahun bagi 2,000 unit stesen pangkalan telekomunikasi di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, potensi pasaran sistem itu amat besar jika diambil kira pemilikan lesen mudah alih Celcom di enam negara lain iaitu Indonesia, Sri Lanka, Kemboja, Singapura, Bangladesh dan India, selain pasaran syarikat telekomunikasi mudah alih lain seperti Maxis dan Digi.

Katanya, projek itu dijayakan dengan pembabitan tujuh penyelidik lain iaitu Pengarah SERI, Prof Datuk Dr Kamaruzzaman Sopian, Prof Emeritus Datuk Dr Elias Salleh, Prof Dr Yusof Sulaiman, Prof Dr Sohif Mat, Dr Norasikin Ahmad Ludin, Dr Mohd Adib dan Dr Mohd Asri.

Penyelidikan projek itu dibiayai di bawah geran Program Transformasi Ekonomi bernilai RM270,000 selain Celcom menyediakan satu menara yang lengkap dengan semua peralatan telekomunikasi.

Berita Harian X