Ahad, 22 November 2015 | 7:26pm
PENGURUS Manchester United, Louis Van Gaal (kiri) jelas ceria bersama pemainnya, Bastian Schweinsteiger selepas perlawanan menentang Norwich City di Vicarage Road yang berakhir dengan kemenangan 2-1 buat skuad bimbingannya. - Foto REUTERS
PENGURUS Manchester United, Louis Van Gaal (kiri) jelas ceria bersama pemainnya, Bastian Schweinsteiger selepas perlawanan menentang Norwich City di Vicarage Road yang berakhir dengan kemenangan 2-1 buat skuad bimbingannya. - Foto REUTERS

Van Gaal akui minat bawa pulang Ronaldo ke United

LONDON: Pengurus Manchester United, Louis van Gaal mengesahkan berminat untuk membawa pulang Cristiano Ronaldo ke Old Trafford, enam tahun selepas penyerang bintang itu menyertai Real Madrid.

Van Gaal yang dipetik beberapa akhbar British berkata; "Kami melihat kepada kesemua pemain, bukan hanya Ronaldo. Namun pemain-pemain inilah yang sukar untuk diperoleh.

"Bersama Ronaldo, kita tunggu dan berharap. Tiada seorang pun jurulatih di dunia ini yang tidak mahukannya. Dia bermain di bahagian sayap dan dia juga laju, dan menjaringkan gol."

Real Madrid terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan Ronaldo dengan yuran perpindahan STG80 juta (RM519.68 juta) yang memecah rekod dunia pada 2009.

Begitupun, pemain Terbaik Dunia yang memasuki usia 31 tahun pada Februari ini pastinya kecewa dengan kekalahan besar 4-0 kepada Barcelona, awal pagi tadi.

Pemain kelahiran Portugal itu adalah pemenang tiga kali anugerah Pemain Terbaik Dunia dan juga penjaring gol terbanyak dalam sejarah Real.

Sepanjang bersama gergasi Sepanyol itu, Ronaldo hanya memenangi satu gelaran La Liga selain menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2014.

Ketika bersama Man United di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson, dia membantu kelab itu memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) serta menjuarai Liga Juara-Juara pada 2008.

Mengulas kemenangan 2-1 ke atas Watford pada perlawanan EPL, semalam, Van Gaal berkata skuad bimbingannya masih belum beraksi pada tahap yang dimahukan.

Man United ketika ini sering dikritik atas corak permainan konservatif yang ditampilkan di bawah kendalian Van Gaal namun ia berhasil ketika bertemu Watford di Vicarage Road.

Di depan seawal minit ke-11 menerusi Memphis Depay, Watford menyamakan kedudukan menerusi penalti Deeney pada minit ke-87 namun gol sendiri kapten tuan rumah itu ketika masa kecederaan memberi kemenangan buat United.

"Saya mengubah sistem. Posisi perlawanan kami tidak begitu baik dan ia mengecewakan. Saya fikir sesetengah orang berfikir posisi permainan kami membosankan namun saya fikir ia adalah cara untuk mengucar-kacirkan lawan yang berdisiplin," kata pengurus kelahiran Belanda itu. - AFP

Berita Harian X