X
Khamis, 19 November 2015 | 4:54pm

Banjir di Kuala Selangor semakin buruk

KEADAAN banjir di kawasan perkampungan di Parit Mahang. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
KEADAAN banjir di kawasan perkampungan di Parit Mahang. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

KUALA SELANGOR: Keadaan banjir di daerah ini semakin buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 1,060 orang daripada 273 keluarga yang dipindahkan ke empat pusat pemindahan hingga jam 1 tengah hari tadi.   

Pusat Pemindahan Mangsa Banjir Daerah Kuala Selangor di Parit Mahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, 946 mangsa daripada 253 keluarga manakala di Simpang Tiga Jeram (40 orang, 11 keluarga); Balai Raya Kampung Bukit Kucing (63, 16) serta 11 orang daripada tiga keluarga di Kampung Bukit Hijau.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata daripada enam pusat pemindahan yang dibuka sejak Isnin lalu, dua daripadanya sudah ditutup.

Pusat pemindahan di Kampung Sentosa Ladang Tuan Mee, Bestari Jaya dan Kampung Bukit Kerayong, Jeram, kedua-duanya ditutup hari ini selepas banjir surut sepenuhnya kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

"Sehingga petang tadi, air di kawasan Parit Mahang mencatatkan kedalaman hingga 3.78 meter (m) manakala lain-lain kawasan, Simpang Tiga Jeram, Kuala Selangor (0.3m), Kampung Bukit Kucing (0.5m) dan Kampung Bukit Hijau (0.5m).

Berita Harian X