X
Selasa, 17 November 2015 | 9:34pm

5 kawasan di Shah Alam, Klang dilanda banjir kilat

KEADAAN banjir di kawasan letak kenderaan awam seksyen 13, Shah Alam, petang tadi. - Foto Roslin Mat Tahir
KEADAAN banjir di kawasan letak kenderaan awam seksyen 13, Shah Alam, petang tadi. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Lima kawasan di Shah Alam dan Klang mengalami banjir kilat akibat hujan lebat petang ini, menurut Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu mulai 3 petang hingga 5 petang tadi membabitkan kawasan Seksyen 13, Stesen Komuter Batu 3 dan Taman Subang Intan di Shah Alam yang dinaiki air sehingga mencecah paras 0.6 meter.

Sementara di Klang, kawasan terbabit ialah di Jalan Padang Jawa dan Jalan Batu 3.

"Sehingga 5 petang ini, keadaan masih terkawal dan tiada kerja-kerja pemindahan mangsa dilakukan," katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, sembilan kawasan di Shah Alam dan Klang mengalami banjir kilat akibat hujan lebat sejak tengah hari tadi yang menyebabkan kesesakan lalu lintas setelah banyak jalan tidak dapat dilalui.

Kawasan terbabit ialah Seksyen 13, Seksyen 20, Seksyen U8, Stesen Komuter Batu 3, Persiaran Kerjaya dan Tol Bukit Jelutong, di Shah Alam manakala di Klang ialah di Kampung Bukit Kerayong, Taman Sentosa dan Jalan Kebun Nenas.

- BERNAMA

Berita Harian X