Selasa, 17 November 2015 | 8:46pm

Beberapa kampung sekitar Teluk Intan banjir

ANGGOTA penyelamat memindahkan mangsa banjir di Kampung Lorong Mesra, petang tadi. - Foto Mohd Nazrulaswad
ANGGOTA penyelamat memindahkan mangsa banjir di Kampung Lorong Mesra, petang tadi. - Foto Mohd Nazrulaswad

TELUK INTAN: Seramai 12 orang daripada empat keluarga dari tiga kampung di Kilometer 12 Jalan Changkat Jong di sini terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air sedalam antara 0.9 meter hingga 1.2 meter dalam kejadian banjir kilat petang tadi.

Hujan lebat di hulu Sungai Bidor dan Sungai Sungkai Mati mengakibatkan air dari kedua-dua sungai itu melimpah dan melanda beberapa rumah penduduk di Kampung Lorong Mesra, Batu 9 dan Ganda di kawasan berkenaan sejak jam 3 petang.

Setakat jam 7 petang tadi, air banjir masih berada pada paras 1.2 meter dan dijangka meningkat lagi sekiranya berlaku hujan lebat berterusan di kawasan Tapah iaitu di bahagian hulu dua sungai berkenaan.

Sementara itu, seramai 41 orang membabitkan 12 keluarga dari Kampung Padang Serai, dekat Pantai Remis, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka dinaiki air akibat banjir kilat semalam.

Semua mangsa mula berpindah pada jam 8 malam, selepas paras air di beberapa kawasan di kampung itu mula naik selepas hujan lebat berterusan selama beberapa jam.

Ketua Kampung Padang Serai, Hasan Ismail, berkata kawasan itu selalu banjir pada musim hujan.

Berita Harian X