Jumaat, 13 November 2015 | 8:32pm

Pusat hemodialisis percuma di Melaka beroperasi di bangunan baharu

PUSAT Hemodialisis Yayasan Toh Puan Zurina (YTPZ) di Pantai Peringgit, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Pusat Hemodialisis Yayasan Toh Puan Zurina (YTPZ) yang menawarkan perkhidmatan hemodialisis percuma kepada golongan kurang berkemampuan memulakan operasi di bangunan baharu bernilai lebih RM13 juta di Pantai Peringgit di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata Kompleks Yayasan Toh Puan Zurina yang dibina di atas tanah seluas 0.4 hektar mampu memuatkan sebanyak 140 mesin hemodialisis dan mula beroperasi pada Selasa.

Katanya, bagi fasa pertama, sebanyak 60 mesin hemodialisis milik YTPZ dan Majlis Agama Islam Melaka ditempatkan di kompleks berkenaan manakala pesakit yang layak mendapatkan rawatan secara percuma ialah mereka berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000.

"Pada fasa pertama, pusat hemodialisis ini mampu memberi perkhidmatan kepada 160 pesakit sehari dan jumlah ini boleh meningkat selaras dengan penambahan mesin hemodialisis ini secara berperingkat pada masa hadapan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian kompleks berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan isterinya, Toh Puan Zurina Kassim yang kemudian merasmikan kompleks berkenaan.

Sesi rawatan disediakan kepada pesakit daripada pukul 7 pagi hingga 5 petang pada setiap hari Isnin hingga Sabtu.

Pusat berkenaan sebelum ini beroperasi di bangunan kuarters kerajaan Bukit Peringgit di sini dan berpindah selepas kompleks berkenaan siap, Oktober lalu.

-- BERNAMA

Berita Harian X