Khamis, 12 November 2015 | 7:30am

Caj pengurusan bukan untuk ambil kesempatan

MAHKAMAH Syariah banyak melakukan perubahan bagi memudahkan dan menjimatkan masa semua pihak. - Foto hiasan.

MAHKAMAH Syariah sebenarnya bukanlah institusi yang baharu wujud di negara kita. Sejak Islam mula bertapak di Tanah Melayu, satu set undang-undang juga digubal bagi mentadbir sebarang pertikaian membabitkan penganut Islam seperti Batu Bersurat yang ditemui di Terengganu dipercayai wujud pada tahun 1326, menggambarkan institusi badan perundangan syariah telah wujud sejak itu.

Sehingga kini, Mahkamah Syariah mengalami evolusi dan perubahan selari dengan perkembangan zaman. Sejak kewujudan Pejabat Kadi sehingga wujudnya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah berusaha terus relevan menjadi tempat rujukan bagi menyelesaikan pertikaian membabitkan umat Islam.

Sejajar dengan perkembangan ini, tidak boleh dinafikan selain sumber manusia, sumber kewangan juga sangat mendasar bagi membolehkan Mahkamah Syariah membangun. Seperti jabatan kerajaan dan badan berkepentingan lain, Mahkamah Syariah juga akan mengenakan beberapa caj bagi tujuan pengurusan.

Tak timbul isu cekik darah

Caj ini bukanlah sebagai sumber pendapatan mahkamah tetapi menjadi hasil kerajaan dan akan dikembalikan semula kepada mahkamah untuk tujuan pengurusan dan pembangunan. Tidak sepatutnya timbul isu seperti cekik darah, mengambil kesempatan mahupun berniat menyusahkan pelanggan mahkamah.

Baru-baru ini, terdapat satu status aplikasi media sosial menjadi viral yang menceritakan kepayahan dan rasa kurang senang seorang pelanggan Mahkamah Syariah terhadap caj dikenakan terhadap beliau bagi tujuan pemfailan kes.

Pelanggan berkenaan menyatakan diri beliau dalam kesusahan akibat ditinggalkan suami sejak sekian lama dan terpaksa menanggung enam anak. Kini terpaksa pula menanggung kos untuk pengangkutan ke mahkamah, yuran pemfailan kes dan yuran penyediaan dokumen. Pemilik aplikasi media sosial itu juga menyatakan pelanggan terbabit tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.

Kes salah faham terhadap mahkamah seperti ini bukanlah perkara baharu diutarakan. Sesetengahnya bersifat separuh benar dan berlaku salah faham sehingga menjejaskan nama baik Mahkamah Syariah yang telah melakukan banyak perubahan dari segi pentadbiran dan prosiding mahkamah. Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, hampir 90 peratus kes di mahkamah syariah diselesaikan dalam tempoh 12 bulan. Dan baki 10 peratus disebabkan beberapa kes yang tiada sandaran bukti sebagai contoh kegagalan dalam penyampaian saman.

Oleh itu, isu dihadapi oleh pelanggan yang memuat naik status berkenaan adalah isu terpencil dan sebenarnya boleh diselesaikan. Sebagai pelanggan di mahkamah seharusnya seseorang itu tidak menghamburkan segala-galanya pada mahkamah. Apatah lagi bila membabitkan isu yang sudah lama sehingga memakan puluhan tahun.

Sebagai individu bertanggungjawab, pelanggan juga perlu mengenal pasti beberapa perkara sebelum terus menerjah ke mahkamah.

Sebagai langkah awal, selepas mengetahui mahkamah yang berbidang kuasa, seorang pelanggan perlu mengetahui tindakan paling wajar diambil sebelum sebarang pemfailan dibuat. Tindakan yang berbeza memerlukan persediaan berbeza. Bagi kes dinyatakan di atas, beliau ingin membuat pengesahan lafaz cerai. Walaupun mungkin tindakan itu tidak keseluruhannya salah, tetapi jika sudah ditinggalkan puluhan tahun, terdapat tindakan lebih sesuai seperti fasakh atau taklik.

Beliau juga perlu membuat sedikit rujukan sebelum ke mahkamah. Sebagai contoh, dokumen yang perlu disediakan, bilangan salinan dokumen dan yang paling penting berapakah kos perlu dikeluarkan. Ini bagi mengelakkan terjadi salah faham seperti sebelum ini.

Pasti ramai yang akan bertanya, dari mana ibu yang sedia susah ini boleh mendapatkan nasihat atau panduan sebelum apa-apa tindakan dibuat. Kerana itu perlunya mana-mana pelanggan sebelum ke mahkamah mendapatkan maklumat yang betul sama ada dari mana mana jabatan agama yang kini sudah ada panel peguam syarie mereka, jabatan bantuan guaman ataupun terus ke mana-mana firma guaman yang mempunyai tauliah untuk beramal sebagai peguam syarie.

Setidak-tidaknya dapatkan nasihat daripada mereka dan sikap segan bertanya perlu dikikis bagi melancarkan sebarang tindakan selanjutnya. Kebanyakan masalah yang timbul disebabkan salah faham dan maklumat yang tidak jelas.

Ambil usaha proaktif

Pelanggan mengharapkan masalah dialami bertahun-tahun boleh diselesaikan mahkamah dalam satu hari. Mahkamah bukanlah pejabat aduan yang ada pil ajaib, menyediakan ubat segala penyakit. Sebahagian tindakan di mahkamah perlu membabitkan usaha proaktif oleh pelanggan sendiri bagi melicinkan sebarang proses. Jika pelanggan menyerahkan segala-galanya kepada mahkamah, maka mereka perlu menjangkakan satu tempoh masa bagi mahkamah menguruskan kes mereka.

Terdapat peruntukan undang-undang bagi membantu mereka yang tidak berupaya memulakan, mendakwa ataupun membela mana-mana tindakan di mahkamah. Sebagai contoh Seksyen 31 (1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan:

"Mana-mana orang yang berhasrat untuk memulakan atau membela apa-apa tindakan atau prosiding lain mengikut haknya sendiri, dan tidak berupaya membayar fi Mahkamah baginya, boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan kebenaran untuk mendakwa atau membela sebagai orang miskin."

Jalan tanggungjawab sosial

Selain bantuan guaman daripada Jabatan Bantuan Guaman dan Peguam Syarie Majlis Agama Islam, terdapat juga bantuan sokongan lain seperti Badan Sokongan Keluarga (BSK) yang diselaraskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Ada beberapa badan korporat yang sudah mula menjalankan tanggungjawab sosial mereka membantu golongan yang tidak berkemampuan di mengambil tindakan di mahkamah syariah.

Sebagai badan perundangan Syariah di Malaysia yang terus kekal relevan dan berdaya saing, telah banyak perubahan yang telah diusahakan oleh Mahkamah Syariah di Malaysia. Sebagai contoh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor telah memperkenalkan kaedah Kes Cerai 'Fast Track' bagi pasangan yang bersetuju bercerai tidak lagi perlu menunggu 90 hari bagi menyelesaikan kes perceraian mereka. Proses perceraian bagi pasangan Islam di Selangor kini dipermudah dan dapat diselesaikan dalam tempoh enam jam.

Langkah drastik yang diperkenalkan pada Jun lalu adalah bukti Mahkamah Syariah cuba sedaya upaya memudahkan pelanggan dan sudah pasti mengurangkan kos dan menjimatkan masa semua pihak. Namun, sebanyak mana pun usaha mahkamah ini, ia tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak termasuk pelanggan sendiri. Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memperkasa Mahkamah Syariah.

Penyertaan NGO yang berkaitan bagi membantu nasib mereka tidak berkemampuan seperti ibu tunggal, isteri yang ditinggalkan suami dan mereka kurang bernasib baik supaya tidak timbul lagi salah faham terhadap mahkamah syariah pada masa masa akan datang. Kita tidak mahu keadilan itu hanya diperoleh oleh mereka yang kaya saja.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X