Selasa, 10 November 2015 | 12:06am

AS, China idam kuasai Spratly

PERTIKAIAN Amerika Syarikat (AS) dan China berhubung isu di Laut China Selatan, semakin memuncak apabila AS menggerakkan kapal pemusnah tentera lautnya dalam lingkungan 12 batu nautika (22 kilometer) dari salah satu pulau buatan China di Kepulauan Spratly.

 Sebelum itu, wujud pertikaian antara keduanya mengenai isu kepulauan itu sehingga menyebabkan deklarasi bersama yang sepatutnya ditandatangani di akhir Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM Plus), antara ASEAN dan China terpaksa dibatalkan.

  Difahamkan, AS mahu isu pertindihan tuntutan di Laut China Selatan dimasukkan ke dalam deklarasi itu, tetapi China tidak setuju.

  Namun, penganalisis politik dan hubungan antarabangsa meramalkan tidak akan wujud tindakan fizikal antara kedua kuasa besar dunia itu walaupun daripada mata kasar wujud pertikaian antara kedua negara di wilayah maritim itu.

  Pakar Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan, berkata beliau melihat 'kehangatan' di Laut China Selatan wujud kerana kedegilan dua kuasa besar di wilayah maritim berkenaan.

  Katanya, jelas sekali tindakan AS mencabuli kedaulatan wilayah maritim berkenaan apabila meletakkan kapal pemusnah tentera lautnya di kawasan berkenaan.

"Tindakan China pula melanggar Deklarasi Kod Tatacara Laut China Selatan (DOC) yang dipersetujui negara itu bersama dengan negara anggota ASEAN apabila terus membuat binaan di wilayah berkenaan.  

  "Namun, saya percaya tidak akan wujud pertembungan fizikal kedua-dua kuasa besar itu kerana ia akan merugikan mereka dan semua pihak yang membuat tuntutan," katanya.

 

PERTIKAIAN dilihat tiada kesudahan, isu tuntutan kepulauan di Laut China Selatan semakin memuncak.

Sejarah Tuntutan

    Tuntutan ini bermula sejak 1946 yang mencetuskan pertikaian yang tiada kesudahan sehingga kini.  Diburukkan lagi adalah apabila AS walaupun bukan negara penuntut di kepulauan itu cuba juga menuntut hak mereka untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai wilayah laluan perkapalan yang bebas.

  Kepulauan Spratly menjadi perebutan enam negara antara China dan Taiwan dengan empat anggota ASEAN, iaitu Malaysia, Brunei, Vietnam dan Filipina.

  China paling lantang dan berani dalam isu pertindihan tuntutan kerana menuntut keseluruhan wilayah maritim merangkumi Kepulauan Paracel, Kepulauan Spratly, Tebing Macclesfied dan Terumbu Scarborough manakala negara lain terhad kepada beberapa kawasan. Vietnam sebelum ini turut menuntut Kepulauan Paracel yang kini dikuasai China.

  Kepulauan Spratly mempunyai kawasan seluas 425,000 kilometer persegi dengan 30,000 pulau kecil manakala lebih daripada 750 pulau terumbu. Kedudukan Spratly yang strategik menyebabkan ia dituntut oleh keenam-enam negara berkenaan dengan tuntutan mereka agak bercampur-campur.

  Ada yang menuntut wilayah maritim itu di atas dasar sejarah masa lalu, penerokaan, penguasaan efektif, kedudukan geografi, Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan pelantar benua.   

  Pulau ini penting kerana menjadi laluan kapal pedagang yang menghubungkan dengan pelabuhan utama di Asia Pasifik selain kedudukannya yang strategi dan geopolitik kerana terletak di tengah kedudukan negara Asia Tenggara.

 Difahamkan kepulauan ini pernah di kuasai oleh Jepun yang terbabit secara aktif dalam proses pengeluaran najis burung walet. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Jepun berundur dan mengosongkan terus kepulauan itu.

  Perjanjian antara pihak berkuasa Perikatan dengan Jepun di San Francisco, AS pada September 1951 menyebabkan Jepun melepaskan segala hak tuntutan ke atas Kepulauan Spratly tetapi tidak menyatakan secara khusus pihak manakah yang akan mengambil alih kedaulatan kepulauan itu.

  Maka, muncul kerajaan China dan Perancis yang menduduki Vietnam ketika itu untuk menuntut Kepulauan Spratly, kemudiannya, Taiwan turut serta menuntut wilayah berkenaan.

   Sejarah penguasaan Kepulauan Spratly oleh China membabitkan sejarah yang panjang. Pada lewat 40-an dan awal 1950-an, China berebut dengan Vietnam mengenai hak kedaulatan di Kepulauan Paracel yang terletak di bahagian utara Kepulauan Spratly. Pada 1974, China berjaya menguasai Kepulauan Paracel dan pada 14 Mac 1988, tentera China telah bertempur dengan pasukan tentera Vietnam di pulau berkenaan tapi Vietnam telah kalah teruk dan pulau itu terus dikuasai China.

Faktor Tuntutan

Kebanyakan negara yang menuntut di wilayah maritim itu, menggunakan undang-undang laut yang digelar Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS), yang membolehkan mereka menuntut sehingga lebih 200 batu nautika atau menggunakan kaedah EEZ.

   China enggan menggunakan kaedah EEZ dengan alasan sejarah bahawa mereka berhak ke atas hampir keseluruhan kawasan Laut China Selatan yang digelar sembilan garis sengkang  iaitu kawasan yang dituntut negara itu.

  Namun, ramai penganalisis politik percaya kebanyakan menuntut kepulauan berkenaan kerana faktor keselamatan dan kekayaan mineral serta sumber asli yang terdapat di wilayah itu.

  Kedudukannya yang strategik membolehkan negara berkenaan mendirikan pangkalan tentera sekali gus memberi kelebihan dari segi kepentingan untuk mengawal perairan. Khazanah geomineral seperti minyak dan gas yang banyak membolehkan negara yang menuntut menggunakannya untuk menambah sumber.

 

ANGGOTA penyelamat dan sukarelawan berusaha mencari lebih 1,000 orang dikhuatiri masih hilang di Florida Panhandle. - Foto AFP

INFO: KEPULAUAN SPRATLY

  • 80 kilometer dari barat laut Bintulu, Sarawak dan kira-kira 1,800 km dari China
  • Mempunyai kira-kira 750 terumbu karang, termasuk Terumbu Layang-Layang, yang ketika ini dimajukan Malaysia sebagai lokasi pelancongan tercantik di Asia.
  • Keluasan 425,000 km persegi
  • 30,000 pulau kecil
  • Sumber telaga minyak, gas asli dan perikanan
  • 7 Tuntutan Malaysia di Spratly membabitkan gugusan kepulauan iaitu Ardasier Reef (Ubi Reef), Dallas Reef (Laya Reef), Erica Reef (Siput Reef), Investigator Shoal (Peninjau Shoal), Louisa Reef (Semarang Barat Kecil Reef), Mariveles Reef (Mantanani Reef) dan Swallow Reef (Pulau Layang-Layang)

 

KEPULAUAN PARACEL

  • Ada 30 pulau kecil, beting pasir dan terumbu
  • Dikenali sebagai Laut Vietnam Timur
  • Dituntut oleh China dan Vietnam
  • Jarak pulau sama dengan Vietnam dan China
  • Sumber telaga minyak, gas asli, perikanan

 

NEGARA TERBABIT TUNTUTAN:

CHINA

  • Menuntut keseluruhan kepulauan di Laut China Selatan
  • Menuntut kepulauan Spratly dan merampas kepulauan Paracel daripada Vietnam pada tahun 1974

FILIPINA

  • Menduduki lapan pulau di gugusan Spratly
  • Tuntut pulau kerana dalam lingkungan EEZ

MALAYSIA

  • Menuntut kepulauan Spratly berdasarkan lingkungan EEZ
  • Berjaya menjadikan Pulau Layang-Layang di Spratly sebagai kawasan pelancongan

VIETNAM

  • Menduduki 20 daripada pulau Spratly
  • Menuntut Pulau Paracel

TAIWAN

  • Menuntut semua kepulauan yang terletak di Laut China Selatan, termasuk Spratly sebagai haknya berdasarkan latar belakang sejarah

BRUNEI

  • Tuntutan terhad di EEZ

Berita Harian X