X
Selasa, 10 November 2015 | 12:02am

FMLLP nafi jadi boneka FAM

HANYA tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum penswastaan Liga Malaysia (Liga M) dilaksanakan, namun kewibawaan Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) terus dipertikai terutama dari aspek pembahagian keuntungan termasuk hak penyiaran dan penajaan buat semua pasukan.

Malah, ketika ini timbul pula tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan FMLLP ini sekadar menjadi boneka kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mengaut keuntungan hasil pelaksanaan penswastaan liga.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas, BH Sukan mendapatkan penjelasan daripada Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam (gambar) bagi menjawab segala kritikan dan tanggapan negatif itu. Ikuti temubual wartawan BH Sukan, Mohamad Zulfaizan Mansor bersama Kevin yang merangkumi semua aspek termasuk tanggapan FMLLP sekadar boneka FAM, hak penyiaran dan penajaan, kuasa yang ada pada FMLLP, FAM dan semua pasukan selain persediaan ke arah penswastaan Liga M.

KETUA Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.
KETUA Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

Soalan: Apa pandangan anda berkenaan tuduhan FMLLP hanya boneka FAM?

Jawapan: Bagaimana boleh jadi boneka pun saya tidak faham. Ada ke apa-apa yang kami buat hingga menampakkan FMLLP seperti boneka sahaja. Saya jadi risau kenapa kita dianggap sebagai boneka FAM. Kita memang bekerjasama dengan FAM sebab memang tujuan kami untuk tidak mengenepikan agenda nasional. Agenda nasional perlu ada, kerjasama liga dengan FAM akan sentiasa wujud, tetapi boneka dari segi apa? Itu yang saya mahu penjelasan daripada pihak yang membuat tuduhan itu. Kalau ada perkara yang mungkin kami buat atau sudah lakukan setakat ini menampakkan FMLLP sebagai boneka, saya ingin tahu kerana kami mahu memperbetulkan perkara yang silap. Hakikatnya, kami bukan bekerja untuk FAM, kalau anda tahu hasil kerja kami setiap hari adalah untuk berbincang dengan FAM dan melakukan perubahan. Jadi, benda ini memang banyak perbincangan dengan FAM sebab mereka yang memulakan liga dahulu, jadi bila nak ubah ke arah penswastaan, banyak benda yang kami perlu bekerjasama dengan FAM.

S: Apakah agenda nasional selepas penswastaan liga nanti?

J: Agenda nasional kita adalah untuk memastikan perjalanan liga memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan bola sepak Malaysia. Ia merangkumi sumbangan melahirkan pemain yang bertaraf antarabangsa sekali gus membantu pembentukan pasukan kebangsaan yang lebih mantap. Malah, FAM juga berperanan untuk memastikan agenda nasional masih ada, misalnya kalau pasukan tiba-tiba mahu peraturan membenarkan tujuh import ataupun tiada had untuk pemain import dalam pasukan. Jadi kalau dikatakan liga dicadang untuk bergerak ke arah itu, FAM pasti akan membantah kerana kita tidak boleh melupakan agenda nasional. Ia adalah fungsi FAM yang mana agenda nasional adalah untuk memastikan lebih ramai pemain tempatan berada di atas padang dan dalam pasukan demi kebaikan bola sepak negara.

S: Boleh anda jelaskan mengenai agihan peratusan keuntungan penswastaan liga yang sebelum ini mendapat kritikan daripada pelbagai pihak?

J: Itu (peratus pembahagian keuntungan) adalah hasil cadangan awal FAM selaku pemilik property atau harta Liga M. Saya mahu jelaskan, sebelum penswastaan ini berlaku, FAM mempunyai pendapatan lebih kurang RM30 juta setahun hasil daripada liga tempatan. Jadi, mereka sudah pasti mahu mengelak jumlah itu tidak berkurangan selepas penswastaan liga nanti. Malah MP & Silva juga sudah memberi jaminan keuntungan lebih besar akan diperoleh selepas penswastaan. Apapun, jumlah yang diterima FAM akan kembali juga kepada setiap pasukan dalam bentuk pembangunan akar umbi dan melaksanakan agenda nasional. Bagi semua pasukan dalam liga pula, mereka diberi jaminan mendapat keuntungan lebih daripada sebelum penswastaan. Setiap pasukan akan mendapat lebih kurang empat hingga lima kali ganda keuntungan selepas liga diswastakan berbanding sebelum ini. FAM pula hanya kekal dengan keuntungan mereka sebelum penswastaan. Jika mahu dibandingkan dengan EPL (Liga Perdana Inggeris) yang mengagihkan hampir keseluruhan keuntungan kepada semua pasukan, ia agak sukar kerana mereka sudah lama menswastakan liga mereka. Malah keuntungan mereka juga mencecah berbilion ringgit setahun hasil dari hak penyiaran dan penajaan. Jadi, buat langkah pertama saya berharap semua orang boleh faham dan melihat ke arah positif bahawa ini adalah musim pertama liga kita diswastakan. Mungkin langkah dan musim seterusnya kita mendapat keuntungan lebih besar dan pasukan mendapat hasil yang lebih baik daripada penswastaan ini.

S: Bagaimana pula dengan pembangunan akar umbi?

J: Kita ada kelab yang mana mereka perlu ada pasukan junior atau pasukan muda tetapi pelaburan ke arah akar ubi masih datang dari FAM. Jadi, jika kita tengok duit yang FAM ambil sebanyak 40 peratus daripada keuntungan liga yang banyak orang persoalkan itu, sebahagian besar daripada duit itu akan disalurkan ke arah pembangunan akar umbi. Malah, kita juga ada insentif untuk pasukan dalam meningkatkan fasiliti terutama membabitkan padang latihan mereka. Bila cakap pasal peningkatan fasiliti, maka impak dia juga ada kepada pemain junior. Dana untuk naik taraf fasiliti juga akan diperoleh oleh semua pasukan. Malah, FAM juga tetap menjadi badan yang akan menguruskan kejohanan membabitkan pembangunan akar umbi termasuk Liga FAM dan Piala Presiden.

S: FMLLP lebih bercakap berkenaan kesan buat pasukan terutama dari aspek pendapatan, tetapi bagaimana pula impak penswastaan liga buat peminat?

J: Suka untuk saya jelaskan berkenaan impak buat pasukan dahulu. Selain keuntungan berganda, mereka (pasukan) mempunyai kuasa dalam menentukan sebarang perubahan yang bakal berlaku dalam liga menerusi Kongres Liga yang terdiri daripada lima wakil FAM dan 24 wakil yang mewakili semua pasukan. Buat peminat pula, mereka pasti mengharapkan lebih banyak siaran langsung membabitkan pasukan masing-masing. Kita sedang berusaha, sekarang ini misalnya dalam seminggu paling banyak ada tiga siaran langsung, tapi kita akan cuba untuk memastikan lebih banyak siaran langsung sehingga enam perlawanan. Tidak semestinya siaran langsung di televisyen sahaja tapi mungkin siaran langsung di internet. Apa yang pasti, kita nak memastikan semua peminat dapat melihat semua perlawanan yang mereka mahu, jadi tiada siapa yang akan tertinggal. Itu salah satu matlamat kita, tanggungjawab kita kepada penyokong untuk memastikan siaran langsung perlawanan memang menjadi agenda utama juga.

S: Berkenaan isu gaji pemain yang sering berlaku setiap kali hujung musim, adakah FMLLP mempunyai perancangan untuk mengatasi masalah itu?

J: Cara kita bekerja adalah dengan memastikan bahawa langkah yang diambil FMLLP adalah langkah yang organik iaitu langkah yang paling memberi kesan terutama untuk tempoh jangka panjang. Memang kita mahu menyelesaikan segala kelemahan dalam liga sebelum ini selepas penswastaannya nanti, tetapi ia bukan satu langkah yang mudah untuk dilakukan dalam tempoh yang singkat dengan penswastaan liga baru sahaja nak bermula musim depan. Apapun, FMLLP sedia memberi pendedahan kepada semua pasukan terutama dari aspek pengurusan kewangan bagi mengelak sesetengah pasukan berdepan masalah kewangan hujung musim sehingga menyebabkan berlaku masalah gaji tertunggak. Susah untuk kami memberi jaminan masalah ini tidak akan berulang pada tahun pertama penswastaan, tetapi FMLLP memerlukan masa untuk menyelesaikan masalah ini.

S: Adakah sistem Kewangan Fair Play berada dalam perancangan FMLLP untuk dilaksanakan bagi mengelak masalah kewangan dihadapi pasukan?

J: Ya, semua perkara berada dalam kajian dan pemantauan FMLLP demi kebaikan liga, termasuk juga penetapan gaji siling. Apapun Kewangan Fair Play memang baik daripada penetapan gaji siling. Tetapi kalau kita lihat keseluruhannya, sistem ini memerlukan banyak pertimbangan sebab ia adalah perbelanjaan dari segi apa yang yang pasukan dapat hasil daripada pendapatan pasukan. Mungkin nampak senang, tetapi untuk mewujudkannya banyak langkah yang kita perlu ambil untuk memastikan ia boleh dimulakan. Malah, UEFA dulu pun memerlukan tempoh tiga hingga lima tahun untuk memperkenalkan sistem ini sebelum dilaksanakan sepenuhnya. Sekarang, kerja FMLLP adalah memulakan pada asasnya dengan memberi pendidikan, pemahaman dan pendedahan kepada semua pasukan, dan selepas itu kita boleh lihat kepada proses melaksanakannya.

S: Dengan tempoh semakin hampir memasuki musim depan, adakah semua pihak sudah bersedia sepenuhnya untuk penswastaan?

J: Dari segi liga memang sudah bersedia. Tapi bila kita cakap pasal penswastaan, semua orang ingat benda ini berkait rapat dengan penswastaan semua pasukan itu sekali. Ini tidak betul, penswastaan liga sebenarnya sudah berlaku dan sedang beroperasi. FMLLP bukan khayalan, pasukan saya bekerja setiap hari, buktinya pertukaran dari segi undi dalam Kongres Liga yang mana setiap pasukan mempunyai undi untuk tukar polisi dijangka akan berlangsung bulan depan. Jika sebelum ini kita tunggu FAM buat keputusan, sekarang ini tidak, keputusan seperti ini berada dalam tangan Kongres Liga yang majoritinya dibarisi wakil setiap pasukan dan kuasa jelas di tangan mereka.

Berita Harian X