X
Jumaat, 6 November 2015 | 3:37pm

TPPA beri manfaat sektor kritikal - AMCHAM

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan memberi manfaat kepada sektor kritikal, kata Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM).

Dalam satu kenyataan hari ini, AMCHAM berkata, sektor berkenaan termasuk elektrik dan elektronik (E&E), getah, sawit, kayu dan komponen kereta.

Ia berkata sektor E&E menyumbang 33.4 peratus daripada jumlah eksport, bersamaan 43.6 peratus daripada jumlah eksport perkilangan dari Malaysia.

"Dengan penyertaan Malaysia dalam TPPA, sektor E&E akan menyumbang kepada lebih banyak peluang pekerjaan nilai tinggi.

"AMCHAM menggesa pihak-pihak berkepentingan di Malaysia untuk menyokong TPPA dan meneruskan usaha bagi membina asas yang kukuh untuk ekonomi negara," katanya, dalam respons kepada pengumuman teks akhir perjanjian di laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Teks yang dikeluarkan oleh negara-negara anggota TPP semalam akan melalui penelitian perundangan sebelum ditandatangani.

Selepas lima setengah tahun rundingan, Malaysia, Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam memuktamadkan rundingan bagi TPPA pada 5 Oktober, di Atlanta, Georgia (AS).

Bagi Malaysia, ia akan dibentangkan di Parlimen pada Januari atau Februari tahun depan. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X