Selasa, 3 November 2015 | 5:14pm

MAPIM minta kerajaan haramkan vape

SUNGAI PETANI: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan agar segera mengharamkan rokok elektronik atau vape sebelum ia menjadi 'barah' dalam masyarakat di negara ini.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, rokok elektronik ini tidak dikawal oleh sebarang peraturan atau undang-undang menyebabkan tiada halangan jika ada kanak-kanak di bawah umur membeli dan menggunakannya.

"Kami mendesak kerajaan tidak menunda lagi keputusan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik sebelum terlambat, walaupun kesannya belum jelas namun lebih baik ia dilarang daripada dijual dan digunakan oleh masyarakat negara ini.

"Kami juga menyokong fatwa yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan yang berpendirian bahawa rokok elektronik ini adalah haram, sama seperti fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan rokok pada tahun 1995," katanya dalam sidang media di Pejabat MAPIM di sini hari ini.

Mohd Azmi berkata, rokok elektronik atau vape ini dilihat sebagai suatu produk komersial yang bukan bertujuan merawat ketagihan terhadap rokok konvensional sebaliknya hanya mengalih ketagihan itu kepada produk baharu yang seiras dengannya.

Katanya, fakta mengatakan rokok elektronik lebih selamat dan sebagai alternatif kepada rokok sedia ada, boleh dipersoalkan memandangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri tidak menganggap ia sebagai terapi yang sah untuk perokok berhenti merokok.

"Difahamkan terdapat 466 jenama Vape dengan lebih 7,764 perisa di pasaran, tidak termasuk perisa baru yang muncul. Harga Vape antara RM159 sehingga RM245 manakala perisanya sekitar RM33," katanya.

Mohd Azmi berkata, China sebagai pelopor dalam pembuatan rokok elektronik ini tidak bersetuju dengan penggunaannya malah negara-negara seperti Singapura, Brazil, Kemboja, Mexico, Nicaragua, Panama, Qatar, Seychelles dan Turki mengharamkannya atas faktor kesihatan.

"Dikatakan bahawa rokok elektronik ini mengandungi sejenis nikotin yang bervariasi iaitu nikotin pelarut, propilen glikol, dietilen glikol dan gliserin, yang apabila dipanaskan akan menghasilkan nitrosamine sejenis larutan yang menjadi penyebab kanser.

Beliau turut menasihatkan mereka yang terbabit dengan perniagaan vape agar akur sekiranya kerajaan mengharamkannya, selain meminta mereka mempunyai tanggungjawab moral terhadap kesihatan rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

Berita Harian X