Isnin, 2 November 2015 | 7:51am

Vape, rokok tetap ada risiko kesihatan

VAPE menjadi trend terutama remaja termasuk sebahagian orang dewasa. - Foto Surianie Mohd Hanif

TANYALAH perokok tegar mengapa mereka suka menghisap rokok yang dijual di negara ini berbanding rokok dijual di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Eropah, Australia atau Singapura sekali pun.

Mereka mendakwa rokok di pasaran tempatan lebih sedap, ada 'ummph' dan kepuasan ketika menghisap. Sebetulnya ialah kerana rokok yang dikilang dan dijual di negara kita mengandungi tar dan nikotin yang agak tinggi, tidak seperti di negara maju. Faktor inilah menyebabkan ketagihan berlaku.

Pada tahun 2013 ketika menjadi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pernah berjanji bahawa kerajaan akan mengurangkan kadar nikotin, tar dan karbon monoksida dalam rokok secara berperingkat mulai Jun tahun itu, yakni nikotin 1.5 miligram (mg) bagi setiap rokok untuk dikurangkan kepada 1.25mg dan akhirnya kepada 1mg pada September 2014. Tetapi tidak nampak sebarang pengurangan. Apa dah jadi? Bermacam kempen diadakan Kementerian Kesihatan seperti kempen 'tak nak merokok', hari tanpa tembakau, malah guna imej kesan menggerunkan akibat merokok pada kotak rokok.

Tak dengar pula jumlah perokok berkurangan. Malah, Thailand berdepan masalah sama meskipun berani meletakkan imej grafik kaki mayat pada kotak rokok.

Oleh itu, kementerian perlu rangka 'Pelan B' dengan mencari kaedah lain dan pada saya, tumpukan kepada usaha mengurangkan kadar nikotin. Murid sekolah rendah yang mula menghisap rokok akan terus merokok hingga dia bekerja dan beranak pinak, malah bercucu disebabkan ketagihan - semuanya gara-gara nikotin.

Kini, timbul pula isu rokok elektronik atau vape. Apabila rokok elektronik mula berleluasa di negara ini kira-kira 10 tahun lalu tetapi dalam bentuk batang rokok, tiada tindakan dilakukan termasuk mengenakan cukai, larangan atau sebagainya.

Kini, dengan kreativiti dan gaya pemasaran menarik, rupa bentuk rokok elektronik semakin canggih, menarik dan mengeluarkan asap dengan bau pelbagai perasa yang wangi.

Ini sekali gus menjadi trend terutama remaja termasuk sebahagian orang dewasa. Ada yang mahu ia diharamkan, ada yang tak mahu tapi akhirnya Kabinet benarkan.

Namun, ada yang kata vape sama seperti rokok, tapi sesetengahnya berpendapat ia tidak memudaratkan kesihatan. September lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa semua negara mengenakan peraturan lebih ketat terhadap rokok elektronik kerana boleh memudaratkan kesihatan penggunanya.

Hasil kajian WHO mendapati peranti Sistem Elektronik Penyalur Nikotin (ENDS) yang menggunakan bateri untuk menghasilkan wap cecair pelbagai perisa itu boleh menjejaskan kesihatan penghisapnya, terutama paru-paru.

Bulan lalu, Norway memaklumkan penjual rokok elektronik di negara itu supaya semua gambar dan pandangan positif mengenai produk terbabit perlu dikeluarkan daripada laman web mereka, kerana e-rokok tidak bebas daripada risiko kesihatan. India dan Indonesia turut mempertimbang untuk mengharamkan rokok elektronik berikutan risiko kesihatan kepada awam.

Sepasukan penyelidik yang diselia Kementerian Kesihatan Jepun mendapati e-rokok mengandungi jumlah ejen penyebab barah 10 kali lebih tinggi daripada tembakau biasa. Terpulang kepada pihak berkuasa - mahu ambil tindakan popular atau mengambil kira kesan jangka panjang terhadap vaper terutama anak muda. Natijahnya, vape atau rokok - kedua-duanya tak baik untuk kesihatan.

Berita Harian X