Jumaat, 30 Oktober 2015 | 11:59am

46 kawasan catat IPU sihat setakat 9 pagi

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di seluruh negara setakat 9 pagi ini semakin baik susulan keadaan jerebu yang beransur pulih sejak semalam berikutan taburan hujan yang banyak.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, 46 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sihat, manakala hanya enam kawasan merekodkan bacaan IPU sederhana.

Enam kawasan yang mencatatkan IPU sederhana ialah Pelabuhan Klang (60), Bakar Arang di Sungai Petani (54), Seberang Jaya 2, Perai di Pulau Pinang (53), Kota Kinabalu (52) dan di Banting dan Shah Alam masing-masing merekodkan bacaan IPU 51.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X