Jumaat, 30 Oktober 2015 | 12:08am
Pihak LPP akan memberi nasihat berterusan dan meminta penternak dan PPK di seluruh negara tidak menyalahgunakan antibiotik pada ternakan.
Pihak LPP akan memberi nasihat berterusan dan meminta penternak dan PPK di seluruh negara tidak menyalahgunakan antibiotik pada ternakan.

Kajian USM dapati salah guna antibiotik amat ketara


KAJIAN Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) yang dijalankan sejak 2011 dan diterbitkan tahun ini membuktikan senario salah guna antibiotik amat ketara.

Pakar Penyelidik Farmasi USM, Prof Dr Mohamed Azmi Hassali, berkata daripada 408 responden yang ditemui, 30 peratus daripada mereka langsung tidak tahu penggunaan antibiotik secara berkesan dan hanya 16 peratus tahu rasional ubat itu diberikan.

Katanya, sebanyak 67 peratus daripada mereka pula percaya antibiotik boleh melawan semua jenis penyakit berkaitan virus seperti selsema sedangkan sebenarnya, lebih 85 peratus pesakit selsema di negara ini tidak perlu diberikan antibiotik.

"Antara dapatan lain kajian ialah 51 peratus daripada responden percaya antibiotik berfungsi seperti ubat tahan sakit dan sangat memerlukannya, sekali gus menyebabkan hampir 90 peratus pesakit terutama di klinik swasta mahu diberikan ubat jenis itu.

"Lebih membimbangkan, lebih 26 peratus daripada mereka percaya antibiotik boleh menyembuhkan semua jenis penyakit selain separuh daripada 408 responden yakin ubat itu boleh menyembuhkan demam," katanya kepada BH.

Prof Dr Mohamed Azmi Hassali
Prof Dr Mohamed Azmi Hassali

Mohamed Azmi berkata, keyakinan mereka sebenarnya tidak ada kena mengena dengan fungsi antibiotik kerana pada hakikatnya kebanyakan penyakit di negara ini tidak perlu langsung diberikan antibiotik.

Malah, katanya, ada negara seperti Australia mengamalkan pendekatan untuk tidak perlu memberi antibiotik kepada pesakit.

  "Masalahnya, hasil kajian kami membabitkan 139 pengamal perubatan mendapati lebih 36 peratus pesakit akan mencari klinik lain jika tidak diberikan antibiotik. Ini menyebabkan lebih 20 peratus doktor swasta tetap beri antibiotik walaupun ia tidak perlu.

"Doktor yang kami temui juga memberitahu, adalah lebih mudah jika beri saja antibiotik daripada berusaha memberikan pemahaman kepada pesakit. Ini satu senario yang amat membimbangkan dan bakal beri kesan buruk pada masa depan," katanya.

Dr Mohamed Azmi berkata, untuk memberi antibiotik, doktor memerlukan satu diagnos yang holistik, bukan sekadar mendengar masalah pesakit dan bersandarkan simptom.

Antara ubat antibiotik di pasaran.
Antara ubat antibiotik di pasaran.

"Jika selsema lebih tujuh hari sehingga ada nanah kekuningan, itu baru mungkin disebabkan bakteria. Begitu juga demam. Jika demam biasa dan muntah, belum tentu ia disebabkan bakteria. Kerana itulah perlu diambil sampel dan buat pemeriksaan darah.

"Namun, kebanyakan doktor suka ambil jalan mudah dan terus saja beri antibiotik jika pesakit demam atau selsema. Masalah lain pula, pesakit akan ke klinik lain jika tidak sembuh dengan ubat dari klinik sebelumnya. Doktor di klinik lain pula tidak tahu ubat apa yang diberi sebelumnya dan ia menyebabkan antibiotik yang salah terus diberikan," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan syarikat pengeluar ubat kurang berminat menghasilkan antibiotik berikutan kos yang tinggi dan tempoh kajian terlalu lama sedangkan ia hanya mampu bertahan untuk beberapa tahun sebelum bakteria kebal dengannya.

Katanya, bagi menghasilkan satu jenis antibiotik, ia memerlukan masa selama 12 tahun dengan kos sehingga AS$1.4 bilion.

Bagaimanapun, katanya, dengan senario terkini, bakteria hanya memerlukan antara tiga hingga lima tahun untuk kebal terhadap ubat yang dihasilkan.

Katanya, keadaan ini menyebabkan kebanyakan syarikat pengeluar lebih memfokuskan kepada penghasilan vaksin lain yang lebih menguntungkan berbanding antibiotik.

Kebanyakan doktor suka ambil jalan mudah dan terus saja beri antibiotik jika pesakit demam atau selsema.
Kebanyakan doktor suka ambil jalan mudah dan terus saja beri antibiotik jika pesakit demam atau selsema.

Pengamal perubatan tamak

Sikap sesetengah pengamal perubatan yang tamak dan lebih mementingkan keuntungan berbanding etika kedoktoran antara punca peningkatan penyalahgunaan antibiotik yang semakin serius.

Pemberiannya secara melampau juga membentuk stigma antibiotik sebagai 'ubat kuat' dalam kalangan masyarakat hingga menyebabkan kes kerintangan antibiotik semakin membimbangkan.

Penasihat Penyakit Berjangkit Kebangsaan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Christopher K C Lee, berkata kes kerintangan antibiotik, iaitu bakteria kebal daripada antibiotik berada pada tahap sederhana tinggi di negara ini.

Katanya, bakteria akan menjadi terlalu kebal sehingga tiada lagi antibiotik yang boleh menyembuhkan penyakit jika kerintangan antibiotik gagal dikawal.

"Antara penyalahgunaan yang kerap berlaku khususnya di klinik swasta ialah doktor memberikan ubat pada demam selsema sedangkan 90 peratus punca penyakit itu adalah daripada virus.

Datuk Dr Christopher K C Lee
Datuk Dr Christopher K C Lee

"Antibiotik ini bukan saja tidak menyembuhkan demam, malah ia akan menyebabkan bakteria dalam badan menjadi kebal dan apabila bakteria ini menjadi penyakit, pemberian antibiotik tidak lagi dapat membunuh bakteria berkenaan," katanya ketika ditemui BH.

Dr Christopher berkata, beberapa kuman bakteria dikesan sangat kebal di negara ini akibat kerintangan antibiotik berbanding lima atau 10 tahun lalu.

"Antara yang dikesan menjadi kebal ialah kuman bakteria Acineto Baumanii yang menyebabkan penyakit membabitkan paru-paru, ia biasanya terdapat di wad unit rawatan rapi.

"Dulu tidak sukar merawat bakteria ini, tetapi sekarang terpaksa menggunakan antibiotik yang kuat seperti Colistin, ubat yang agak toksik kerana memiliki kesan sampingan mengganggu fungsi buah pinggang.

"Penggunaan Colistin semakin meningkat dan ini membimbangkan. Kira-kira 10 tahun lalu, ia tidak seperti ini dan kita perlu lakukan sesuatu sebelum menjadi lebih serius," katanya.

Colistin ubat antibotik yang kuat.
Colistin ubat antibotik yang kuat.

Pengambilan antibiotik secara berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti ruam, muntah, fungsi buah pinggang menurun dan mengganggu fungsi hati, selain berlaku interaksi antara ubat yang tidak bersesuaian dalam badan.

Beliau berkata, hanya jangkitan kuman bakteria serius memerlukan perawatan antibiotik seperti pneumonia, radang paru-paru, jangkitan kuman di pundi kencing, demam kepialu dan batuk kering (TB).

"Kerintangan antibiotik akan memberi kesan serius kepada mereka yang kurang daya tahan imunisasi seperti bayi berusia setahun ke bawah, warga emas berusia 65 tahun ke atas dan mereka yang menghidap penyakit tertentu seperti HIV serta kanser," katanya.

LPP akan pantau lebih ketat

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan melakukan pemantauan lebih ketat ke atas ladang ternakan ayam milik ahlinya bagi mengekang penggunaan antibiotik secara tidak terkawal.

LPP dalam kenyataannya semalam berkata, pihaknya maklum dengan isu penyalahgunaan antibiotik dalam penternakan ayam di negara ini.

Lembaga Pertubuhan Peladang.
Lembaga Pertubuhan Peladang.

Bagaimanapun, katanya, LPP belum mengesan penyalahgunaan itu dalam kalangan lebih 826,000 anggotanya, selain belum menerima sebarang laporan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung perkara itu.

"LPP maklum berkenaan isu penyalahgunaan antibiotik bagi penternakan ayam dan setakat ini, tiada laporan berkenaan isu itu ditimbulkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau ahli LPP," kata kenyataan itu.

Akhbar ini sebelum ini mendedahkan mengenai tindakan penternak yang menggunakan antibiotik tanpa kelulusan terhadap ternakan, terutama ayam bagi menggalakkan tumbesaran dan meningkatkan daya tahan terhadap penyakit tetapi tindakan itu berbahaya kepada pengguna.

LPP berkata, pihaknya sentiasa menasihatkan ahlinya supaya tidak terbabit dalam penyalahgunaan antibiotik dan hanya menggunakannya apabila membabitkan aspek kesihatan haiwan ternakan.

Bagi memastikan perkara itu tidak berlaku, katanya, pihak LPP akan memberi nasihat berterusan dan meminta penternak dan PPK di seluruh negara tidak menyalahgunakan antibiotik pada ternakan.

"Jika ada, PPK akan membuat laporan sebelum dihantar kepada pihak atasan bagi meneliti tindakan susulan kepada penternak terbabit," katanya.

Berita Harian X