Khamis, 29 Oktober 2015 | 12:23pm

Pertemuan Meja Bulat Isu Sistem Dwibahasa Pendidikan Negara bermula

KUALA LUMPUR: Pertemuan Meja Bulat Isu Sistem Dwibahasa Pendidikan Negara yang menghimpunkan tokoh penting dalam bahasa Melayu sedang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, sejak jam 9.30 pagi tadi.

Pertemuan tertutup yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Awang Sariyan itu diadakan bagi membincangkan pelaksanaan inisiatif Program Dwibahasa (DLP) dan Program Imersif Tinggi (HIP).

Dua inisiatif yang bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pada peringkat sekolah itu, dianggap sebagai usaha mengembalikan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan sejak 2009.

Antara tokoh yang dilihat turut serta dalam pertemuan itu ialah Ketua Satu, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Prof Dr Abdul Latiff Bakar; Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan; Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan Sasterawan Negara (SN) seperti Prof Emeritus Muhammad Salleh, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah, Datuk Dr Anwar Ridhwan serta Datuk Baharuddin Zainal.

Turut dilihat menyertai ialah Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, Prof Dr Shahrir Mohd Zain; tokoh bahasa, Prof Dr Abdullah Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohd Nizam Mahshar dan bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Firdaus Abdullah.

Pada 12 Oktober lalu, PENA dalam Mesyuarat Agung Tahunannya menggesa Kementerian Pendidikan tegas dalam menangkis usaha pihak yang cuba menghidupkan semula PPSMI.

Timbalan Presidennya, Amiruddin Md Ali Hanafiah, berkata kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan perlu diutamakan terutama dalam urusan rasmi dan pendidikan.

"PENA mencadangkan kementerian tegas dalam memastikan hanya bahasa Melayu yang menjadi bahasa pengantar di semua sekolah. Jadi sebarang usaha untuk menggunakan bahasa lain seperti bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah hendaklah ditolak sekeras-kerasnya.

"Kami dapati banyak usaha yang sedang dilakukan untuk menghidupkan semula perjuangan PPSMI, khususnya cadangan mewujudkan DLP hendaklah dihentikan," katanya.

Berita Harian X