Isnin, 26 Oktober 2015 | 12:06am

Antibiotik dijual sewenang-wenangnya



PERATURAN menetapkan antibiotik adalah ubat terkawal, tidak boleh dijual sewenang-wenangnya kecuali atas preskripsi doktor, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Siasatan BH di beberapa farmasi dan klinik swasta di sekitar ibu negara mendapati ubat berkenaan begitu mudah dibeli.

Hanya beritahu, pilih dan terus bayar. Pekerja di farmasi dan klinik swasta juga tidak bertanya lebih lanjut sebab kenapa wartawan mahu membeli produk membunuh bakteria berkenaan.

Malah, mereka juga langsung tidak meminta dan bertanya mengenai surat kebenaran doktor atau menasihatkan wartawan berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk mendapatkan ubat berkenaan.

Sebuah farmasi di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), ketika dikunjungi wartawan tidak dapat memberikan jawapan ketika ditanya perbezaan antibiotik yang dijualnya selepas dia menawarkan dua jenis antibiotik kepada wartawan.

Penjual itu juga tidak memberikan panduan dos yang sepatutnya diambil, malah tidak peduli apabila kami membeli ubat itu dengan jumlah yang besar.

WARTAWAN menyamar sebagai pelanggan bagi mendapatkan antibiotik walaupun tanpa preskripsi doktor di sebuah farmasi di Chow Kit, Kuala Lumpur.
WARTAWAN menyamar sebagai pelanggan bagi mendapatkan antibiotik walaupun tanpa preskripsi doktor di sebuah farmasi di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Di Brickfields, seorang pekerja farmasi hampir menjual antibiotik kepada wartawan tetapi tidak berbuat demikian selepas rakannya mencelah urus niaga itu.

Rakannya yang juga pekerja farmasi itu meminta wartawan mengemukakan surat kebenaran doktor sebagai syarat untuk membeli antibiotik.

Ditanya kenapa surat itu diperlukan, dia menjelaskan itu adalah prosedur kerja dan pada masa yang sama, ubatan yang hendak dibeli adalah bahan terkawal dan tidak boleh dijual dengan sewenang-wenangnya.

Hakikatnya, pengambilan antibiotik secara tidak terkawal dan tidak kena pada punca penyakit selain kaedah penggunaan yang salah, boleh menyebabkan kematian.

Ini berikutan bakteria dalam badan sudah kebal pada antibiotik yang tidak digunakan secara betul atau berlebihan.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 10 juta penduduk dunia dikhuatiri mati akibat bakteria yang semakin kebal, pada tahun 2050 dengan kira-kira 4.7 juta daripadanya adalah dari Asia, yang menjadi rantau berisiko tinggi terutama di negara sedang membangun seperti Malaysia.

PAKAR Farmasi Klinikal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Makmor Bakry menjelaskan pengambilan antibiotik secara tidak terkawal dan tidak kena pada punca penyakit selain kaedah penggunaan yang salah, boleh menyebabkan kematian. - Foto Ghazali Kori
PAKAR Farmasi Klinikal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Makmor Bakry menjelaskan pengambilan antibiotik secara tidak terkawal dan tidak kena pada punca penyakit selain kaedah penggunaan yang salah, boleh menyebabkan kematian. - Foto Ghazali Kori

Pakar Farmasi Klinikal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Makmor Bakry, berkata ia peningkatan ketara berbanding 700,000 kematian setahun yang dicatatkan WHO, selepas penggunaan antibiotik yang tidak terkawal menyebabkan penambahan jumlah bakteria yang kebal dengan rawatan ubatan.

Katanya, laporan WHO itu juga menyebut, sehingga hujung 2014, lebih 50 peratus bakteria yang kerap menyebabkan penyakit seperti demam, batuk dan selesema, sudah kebal dengan segala jenis antibiotik yang ada.

Mengulas senario itu, beliau berkata, apabila antibiotik diberi kepada pesakit yang penyakitnya bukan disebabkan bakteria, ia bukan saja tidak menyembuhkan penyakit, malah membolehkan bakteria sedia ada belajar untuk meningkatkan kekebalannya terhadap pembunuh kuman itu.

Apabila proses ini berlaku, katanya, bakteria akan menjadi semakin kuat.

"Masalahnya, amalan ketika ini amat tidak menepati kaedah sebenar. Semua pesakit yang datang, meskipun sekadar demam biasa atau batuk dan selesema diberi antibiotik sedangkan antibiotik untuk bunuh bakteria, bukan virus atau fungus.

"Tidak semua penyakit disebabkan bakteria. Selalunya demam biasa tidak ada kena mengena dengan bakteria," katanya ketika ditemui BH.

Dr Mohd Makmor berkata, tidak semua batuk dan selesema disebabkan bakteria, justeru doktor perlu membuat diagnosis yang betul sebelum memberi ubat.

Katanya, jika ada simptom ia disebabkan bakteria, baru pesakit diberikan antibiotik dan jika tidak, antibiotik tidak sepatutnya diberikan langsung kerana ia bakal memberi kesan buruk.

Beliau berkata, selain masalah doktor memberikan antibiotik tanpa membuat diagnosis secara tepat, ada pesakit meminta diberikan ubat itu dengan anggapan ia adalah rawatan kepada semua jenis penyakit dan perlu diambil untuk apa saja kes.

Masalah lain pula apabila pesakit tidak menghabiskan antibiotik yang diberikan menyebabkan bakteria tidak dapat dibunuh sepenuhnya dan ia akan mula belajar meningkatkan kerintangan terhadap antibiotik itu. Ini menyebabkan pesakit sama perlu diberi antibiotik lebih kuat apabila kembali sakit.

ANTIBIOTIK yang berjaya dibeli wartawan dari sebuah farmasi di Jalan Tunku Abdul Rahman tanpa preskripsi doktor.
ANTIBIOTIK yang berjaya dibeli wartawan dari sebuah farmasi di Jalan Tunku Abdul Rahman tanpa preskripsi doktor.

"Antibiotik tidak membunuh tetapi kesilapan dalam memberi ubat ini akan meningkatkan kematian kerana kekebalan bakteria.

"Dunia perubatan akan berdepan masalah pada masa depan kerana terpaksa terus mencipta antibiotik yang kuat kerana bakteria sudah kebal.

"Apabila antibiotik terlalu kuat, akan berlaku kesan sampingan lain seperti kerosakan sistem tubuh. Ini yang merisaukan. Masalahnya, isu ini amat sukar ditangani kerana ia memerlukan kesedaran semua pihak, termasuk pengamal perubatan dan orang ramai.

"Jika hanya segelintir individu yang sedar dan menjaga dirinya daripada salah mengambil antibiotik, dia mungkin boleh dijangkiti bakteria kebal daripada pesakit lain yang berhampiran. Contohnya, jika ada orang batuk, dia boleh menyebarkan bakteria kepada orang lain," katanya.

Bakteria semakin kebal dan kos menghasilkan antibiotik baharu amat tinggi menyebabkan kebanyakan syarikat pengeluar ubat kurang berminat menghasilkan ubatan itu. Ikuti kupasannya, esok.

Berita Harian X