Sabtu, 24 Oktober 2015 | 2:52pm

Peruntukan RM5.3b sektor pertanian bukti komitmen kerajaan - Agrobank

KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM5.3 bilion untuk memodenkan sektor pertanian membuktikan komitmen kerajaan mentransformasi sektor makanan agar terus berdaya saing, kata Agrobank.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, dalam satu kenyataan menyambut baik cadangan Bajet 2016 itu, yang terus memberi keutamaan ke atas sektor pertanian, dalam usaha meningkatkan dan menjamin bekalan makanan negara.

"Sememangnya, inovasi teknologi sangat penting untuk meningkatkan pengeluaran dan kualiti tanaman secara lebih efektif dan signifikan," katanya mengulas Pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk seri Najib Razak di dewan Rakyat, semalam.

Selain itu, tambahnya Bajet 2016 juga meneruskan program pembangunan agropreneur (usahawan pertanian) muda, dengan RM90 juta dikhususkan untuk tujuan itu .

Pembabitan golongan itu, menurutnya sudah dikenal pasti sebagai suatu komponen utama Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020, yang berperanan untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian serta membantu menjana pendapatan tinggi bagi golongan petani.

Bajet kali ini turut memberi penekanan terhadap pembangunan luar bandar dan pembangunan keusahawanan yang sangat dinamik.

Ini jelas berikutan pelbagai peruntukan yang disediakan untuk meningkatkan infrastruktur dan menaik taraf kemudahan, serta pelbagai insentif diberi untuk kemudahan pembiayaan dan juga pembinaan modal insan.

Sementara itu, antara insentif dalam Bajet 2016 bagi memodenkan sektor pertanian termasuklah Dana Pembiayaan Usahawan Pertanian & Program Pembangunan Agropreneur Muda sebanyak RM90 juta.

Juga, had pendaftaran Skim Kadar Rata di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi petani berskala kecil diturunkan kepada RM50,000 berbanding RM100,000 dan mereka boleh mengenakan tambahan dua peratus ke atas nilai jualan, bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh petani kecil.

Turut diberi fokus ialah program pertanian yang berimpak tinggi dengan insentif sebanyak RM450 juta iaitu untuk program seperti penanaman buah dan sayur, geran pemadanan dan penyelidikan produk herba serta penternakan ikan dalam sangkar.

Sementara itu, pengurangan kos pengeluaran bahan makanan melalui galakan cukai, dilanjutkan hingga 2020 dan diperluas kepada ternakan rusa, tanaman cendawan, kelapa, rumpai laut, lebah madu dan kelulut serta tanaman makanan ternakan.

Insentif lain dalam seliaan agensi berkaitan, termasuk menaik taraf infrastruktur saliran dan pengairan di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dengan peruntukan sebanyak RM180 juta.

Sejumlah RM190 juta lagi diperuntukkan untuk program penurunan harga, menambah 50 pasar tani serta mewujudkan 150 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia.

Insentif sebanyak RM20 juta disediakan untuk penjenamaan semula MARDI, Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian & Jabatan Perikanan serta Projek Ladang Pengganda untuk meningkatkan penternakan lembu & ladang ayam kampung. - BERNAMA

Berita Harian X