Sabtu, 24 Oktober 2015 | 7:14am

Situasi global jejas prestasi perdagangan

JUMLAH perdagangan negara merosot 1.7 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2015 kepada RM941.9 bilion berbanding RM957.8 bilion pada tahun lalu, berikutan permintaan global lembap, pertumbuhan ekonomi China lebih perlahan, harga komoditi lemah dan penyusutan nilai ringgit.

Walaupun eksport kasar menguncup 1.4 peratus dan import dua peratus, lebihan dagangan meningkat kepada RM54.2 bilion berbanding RM54.2 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, disebabkan penguncupan eksport lebih perlahan.

Pendapatan eksport pertanian dan perlombongan merosot, manakala barangan pembuatan meningkat sederhana. Sehubungan itu, eksport barangan pembuatan kini menyumbang hampir 80 peratus kepada eksport keseluruhan.

Pertumbuhan import berkurang disebabkan penguncupan barangan pengantara dan modal. Pada tahun 2015, eksport kasar dijangka merosot 0.7 peratus dan import 1.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, masing-masing mencatatkan 6.3 peratus dan 5.3 peratus.

Prospek pertumbuhan rakan dagang utama

Ia berikutan prospek pertumbuhan rakan dagangan utama tidak seimbang dan jangkaan harga komoditi rendah yang berterusan.

Bagaimanapun, lebihan dagangan dijangka lebih tinggi kepada RM85.3 bilion iaitu 7.3 peratus, berbanding RM82.5 bilion pada tahun lalu, disebabkan penguncupan hasil eksport yang perlahan.

Sementara itu, eksport barangan pembuatan meningkat sederhana tiga peratus berbanding 10 peratus dalam tempoh sama tahun lalu disebabkan kesan asas yang tinggi dalam tempoh berkenaan.

Walaupun nilai ringgit yang lemah sepatutnya menyokong eksport, namun pada masa sama, hasil itu diimbangi oleh permintaan luar yang lemah dan penyusutan nilai mata wang serantau.

Eksport E&E meningkat 7.4 peratus

Dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini juga, eksport barangan pembuatan secara keseluruhannya turut terjejas berikutan peningkatan perlahan eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan penyusutan pendapatan bukan E&E.

Eksport E&E meningkat 7.4 peratus didorong oleh permintaan kukuh dari Amerika Syarikat, Singapura, China dan Kesatuan Eropah (EU), khususnya Belanda dan Jerman.

Pendapatan eksport bukan E&E kekal pada RM220.5 bilion berikutan terjejas oleh kelembapan permintaan produk petroleum, manakala subsektor utama lain secara amnya turut mencatatkan pertumbuhan perlahan.

Berita Harian X