Rabu, 1 Oktober 2014 | 11:04pm

Kerja pembersihan tanah runtuh di hadapan Kondo Sri Putra Mas selesai

KUALA LUMPUR: Kerja pembersihan tanah runtuh di hadapan Kondo Sri Putra Mas, Jalan Duta Mas di sini selesai pada kira-kira 7.30 malam ini.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif berkata, kerja pembersihan itu dilakukan anggota beberapa agensi kerajaan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, kejadian tanah runtuh pada kira-kira 5.50 petang itu berpunca daripada kerja pembinaan sebuah kondominium di kawasan itu menyebabkan tanah menjadi mendap ketika hujan lebat petang ini dan runtuh ke kawasan jalan raya.

"TNB telah dipanggil untuk memotong bekalan elektrik akibat sebatang tiang elektrik telah tumbang akibat dihempap sebatang pokok manakala DBKL menjalankan kerja-kerja memotong pokok dan membersihkan kawasan sekitar," katanya kepada Bernama.

Ibu negara dilanda hujan lebat lewat petang tadi sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat di beberapa buah kawasan di sekitar pusat bandar. - BERNAMA

Berita Harian X