Ahad, 18 Oktober 2015 | 7:26pm

16 kawasan rekod IPU tidak sihat setakat 6 petang


JARAK penglihatan ruang udara di Putrajaya pada jam 6 petang dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 112 iaitu tahap tidak sihat. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Tahap jerebu di negara ini kembali teruk dengan 16 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 6 petang tadi.

Ia meningkat berbanding lima kawasan pada jam 11 pagi berdasarkan bacaan terkini di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), hari ini.

Kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat itu termasuk paling tinggi di Tawau, Sabah iaitu IPU 135. Selain itu, Putrajaya (116); Batu Muda dan Cheras (121 dan 105); Shah Alam (111); Petaling Jaya (110); Pelabuhan Klang (116).

Kawasan Banting pula mencatatkan bacaan IPU 124, tertinggi di Semenanjung, Samarahan dan Kuching (110); Tanjung Malim (102); Seremban (121); Port Dickson (111); Nilai (120); Bukit Rambai (116) dan IPU 122 dicatatkan di Bandaraya Melaka.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan jerebu kembali ekoran perubahan corak tiupan angin yang berpunca daripada dua ribut tropika, iaitu Koppu dan Champi yang dikesan masih aktif.

Katanya, ribut itu menggerakkan angin dari arah Barat Daya dan membawa kembali asap jerebu dari Sumatera, Indonesia ke semenanjung Malaysia. Ia dijangka berterusan sehingga 24 Oktober ini.

 "Taburan hujan dijangka berkurangan kerana kawasan serantau kita akan dipengaruhi oleh tiupan angin Barat Daya dengan kelajuan sederhana disebabkan oleh kedua-dua ribut tropika itu (Koppu dan Champi)," katanya.

Wan Junaidi berkata, semakan di Pusat Meteorologikal Khas ASEAN (ASMC) juga turut mengesan satu titik panas di Pahang dan 68 titik panas di Kalimantan serta 10 di Sumatera, Indonesia. 

Dalam pada itu, siasatan JAS sehingga 15 Oktober lalu mendedahkan sejumlah 3,488 kes kebakaran terbuka dikesan di seluruh negara meliputi kawasan hutan iaitu 594 kes; pertanian (1,197); industri (19); pembinaan (73); tapak pelupusan sampah (96); belukar (688) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil sebanyak 821 kes.

Daripada jumlah itu, 220 kes pembakaran terbuka dikenakan tindakan kompaun, 16 dikeluarkan Notis Arahan dan 41 kes dikeluarkan Surat Arahan. Manakala, 23 kes lagi menunggu untuk diambil tindakan mahkamah.

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Berita Harian X