Ahad, 18 Oktober 2015 | 12:41pm

5 kawasan catat IPU tidak sihat setakat jam 11 pagi


SEORANG pejalan kaki menggunakan topeng muka ketika melintasi jalan raya di bandar Seremban berikutan keadaan berjerebu dengan catatan nilai IPU 96 iaitu tahap sederhana setakat jam 11 pagi tadi. - Foto Iqmal Haqim Rosman

KUALA LUMPUR: Lima kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, setakat jam 11 pagi tadi.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan terbabit adalah Bandaraya Melaka; Tawau, Sabah; Samarahan, Sarawak serta dua kawasan di Selangor iaitu Banting dan Pelabuhan Klang.

Tawau merekodkan bacaan IPU 119, Bandaraya Melaka IPU 110, Samarahan dan Pelabuhan Klang IPU 109 manakala IPU107 dicatatkan di Banting.

Sementara itu, sebanyak 35 kawasan mencatatkan IPU sederhana dengan kebanyakan kawasan mula merekodkan bacaan semakin meningkat.

Antaranya, Shah Alam, Selangor (97); Petaling Jaya, Selangor (94); Batu Muda (99) di Cheras; Nilai dan Port Dickson di Negeri Sembilan, masing-masing dengan bacaan IPU 99 dan 97.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Berita Harian X