Selasa, 13 Oktober 2015 | 4:09pm

Batu Muda, Cheras kembali catat IPU tidak sihat

JEREBU di sekitar Shah Alam mencatat bacaan IPU 82 iaitu kategori paras sederhana. - Foto Shazreen Zamzuri
JEREBU di sekitar Shah Alam mencatat bacaan IPU 82 iaitu kategori paras sederhana. - Foto Shazreen Zamzuri

KUALA LUMPUR: Dua kawasan di Kuala Lumpur iaitu Batu Muda dan Cheras kembali mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat berikutan keadaan berjerebu.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), sehingga 2 petang ini, Batu Muda mencatat IPU 137 berbanding 81 pada 9 pagi tadi manakala Cheras mencatatkan 112 berbanding 87 pagi tadi.

Sementara itu, sebanyak 33 lagi kawasan mencatatkan IPU sederhana.

Antaranya Bandaraya Melaka yang merekodkan bacaan IPU 95, Bukit Rambai (93), Pelabuhan Klang (91), Pasir Gudang (90), Putrajaya (89) dan Larkin Lama (88).

Beberapa kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan IPU sederhana ialah Banting dan Port Dickson dengan masing-masing 87 serta Nilai (83).

Sebanyak 16 kawasan terutama di Sabah dan Sarawak kekal merekodkan bacaan IPU baik antaranya Labuan (16), Limbang dan Kapit yang masing-masing mencatatkan bacaan IPU 20 dan 23.

Keningau dan Kota Kinabalu pula mencatatkan bacaan IPU baik 26 dan 34, Sandakan 41 dan Tawau 49.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

- BERNAMA

Berita Harian X