Isnin, 12 Oktober 2015 | 8:50am

Hospital rawat penagih gajet

Hospital Dr LH Hiranandani, New Delhi, India.
Hospital Dr LH Hiranandani, New Delhi, India.

NEW DELHI: Pakar perubatan meluahkan kebimbangan mengenai peningkatan kes ketagihan gajet dengan semakin ramai pengguna terlalu bergantung kepada telefon pintar dan tablet mereka.

Pakar psikiatri berkata, ketagihan gajet boleh membawa kepada keasyikan keterlaluan dengan internet, bahan lucah dan permainan komputer, yang kerap dilihat pada remaja dan belia.

Malah, keadaan itu boleh membawa kepada masalah kemurungan.

Bulan lalu, pakar psikiatri di Hospital Dr LH Hiranandani, Dr Harish Shetty, merawat 10 pesakit akibat ketagihan gajet.

"Pesakit memerlukan kaunseling tetapi sebahagiannya perlu dimasukkan ke hospital dan diberi ubat dalam usaha menghilangkan ketagihan itu," katanya sambil menambah keadaan akan bertambah buruk jika pesakit tidak mengikuti apa yang digelarnya 'kebersihan gajet.'

Mengikut Laporan Visi Internet Bergerak 2015, hingga Jun tahun ini, pengguna internet di India mencecah lebih 350 juta.

Malah, kajian yang dibuat pada 2013 oleh pakar psikiatri, Dr Deepak Goel, mendapati 74 peratus daripada 987 remaja didapati ketagihan internet tahap sederhana.

"Ketika kajian, kami mendapati pesakit yang ketagihan internet mengalami kebimbangan dan kemurungan berkaitan kebimbangan. Kebanyakan didapati melayari internet secara keterlaluan di komputer," kata Dr Goel yang membuka klinik di Worli dan kerap merawat pesakit dengan ketagihan gajet.

Sementara itu, Dr Maya Kirpalani dari Hospital Jaslok menambah ketagihan gajet turut menjejaskan perkahwinan kerana sentuhan peribadi semakin hilang. - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X