Ahad, 11 Oktober 2015 | 4:00pm

Pelabuhan Klang hampiri bacaan IPU tidak sihat


KUALITI udara di Pelabuhan Klang setakat 2 petang merekod bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 91 iaitu hampir kepada bacaan tidak sihat. - Foto Faiz Anuar

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di Pelabuhan Klang setakat 2 petang merekod bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 91 iaitu hampir kepada bacaan tidak sihat.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), 41 lagi kawasan turut mencatatkan IPU sederhana.

Antaranya, Shah Alam dan Bandaraya Melaka (masing-masing 90); Batu Muda (89); Banting (88); Bukit Rambai (87); Seremban (83); Cheras, Kuala Lumpur dan Port Dickson (masing-masing 82).

Samarahan pula mencatat 79 manakala Putrajaya dan Nilai (masing-masing 78); Petaling Jaya (75); Kemaman dan Bakar Arang, (masing-masing 72).

Sementara itu 11 kawasan lain yang majoritinya di Sabah dan Sarawak mencatatkan bacaan IPU sihat antara 23 dan 46.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - BERNAMA

Berita Harian X