Sabtu, 10 Oktober 2015 | 10:44am

Keadaan jerebu semakin pulih di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di seluruh negara pagi ini semakin pulih berikutan tiada kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 9 pagi ini.

Sejumlah 37 kawasan mencatat bacaan IPU sederhana.

Mengikut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), antara kawasan yang mencatat IPU sederhana adalah Banting (81), Putrajaya (77), Nilai (76), Port Dickson (76) dan Shah Alam (75).

Sebanyak 14 kawasan pula mencatat IPU sihat termasuk Alor Setar, Kedah dan Kapit, Sarawak, masing-masing 50, manakala Indera Mahkota, Kuantan dan Keningau, Sabah masing-masing 48.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. -- BERNAMA

Berita Harian X