Selasa, 6 Oktober 2015 | 11:09pm

Ian, Loh dinobat Olahragawan, Olahragawati Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA: Atlet renang, Ian James Barr dan atlet terjun, Loh Zhiayi, masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan 2013/2014 di sini, malam ini.

Kedua-dua atlet negara itu menerima trofi dan cek bernilai RM5,000 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Senator Datuk Dr Loga Bala Mohan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Ian, 20, cemerlang dengan kejayaan meraih dua pingat emas dalam acara 50m kuak lentang dan 200m rampaian individu lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014.

Beliau juga meraih dua emas dalam acara 400m rampaian individu lelaki dan 200m rampaian pada Kejohanan Terbuka Malaysia 2013 serta tiga pingat emas iaitu 200m kuak dada, 4x100m rampaian individu dan 200m rampaian individu pada Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN 2013.

Loh pula cemerlang dengan pencapaian pingat emas 10m platform wanita di Sukan SEA Myanmar 2013. Beliau turut meraih emas acara yang sama ketika beraksi di Festival Olimpik Belia di Sydney pada 2013.

Pada 2014, Loh, 18, meraih pingat gangsa kejohanan Grand Prix Terjun FINA di Singapura dan tempat keempat kejohanan yang sama di Malaysia, kedua-duanya dalam acara 10m platform wanita.

Selain itu, beliau juga meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Remaja di Nanjing bagi 10m platform wanita dan pingat gangsa 3m papan anjal wanita.

Dalam pada itu, seorang lagi atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri dinobatkan Olahragawati Harapan selepas meraih tiket ke Sukan Olimpik 2016 secara merit dalam acara 10m platform individu wanita. - BERNAMA

Berikut senarai pemenang Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2013/2014:

Olahragawan: Ian James Bar (Renang)

Olahragawati: Loh Zhiayi (Terjun)

Olahragawan Harapan: Muhammad Danial Mohd Azri (Taekwondo)

Olahragawati Harapan: Nur Dhabitah Sabri (Terjun)

Olahragawan Paralimpik: Cheah Liek Hou (Badminton)

Olahragawati Paralimpik: Siti Eleeni Ibrahim (Boling Padang)

Pasukan Lelaki Terbaik: Pasukan Sepak Takraw

Pasukan Wanita Terbaik: Pasukan Gimrama A

Jurulatih Terbaik: Phua Chen Hong (Taekwondo)

Pegawai Sukan Terbaik: Mae Chen (Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur)

Anugerah Khas: Allahyarham Azmi Shaari (Persatuan Sepak Takraw Wilayah

Persekutuan Kuala Lumpur) .

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X