X
Selasa, 6 Oktober 2015 | 8:18am

Membina generasi muda kaya budi bahasa, nilai murni

Program peningkatan budi bahasa dan nilai murni dalam kalangan rakyat patut diberi keutamaan dan dijadikan agenda utama ketika kita melangkah ke hadapan untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Pembangunan negara tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu tetapi perlu seiring dengan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti tinggi.

Negara kita perlu memiliki rakyat berbudi bahasa, bertanggungjawab, hormat-menghormati, beramanah, jujur serta berintegriti kerana sistem nilai murni itu menjadi kayu pengukur sebenar sebuah negara maju. Pembangunan dilaksanakan dengan begitu pesat dan maju tidak bermakna tanpa sistem nilai sewajarnya.

Di manakah nilai murni yang sepatutnya kita terapkan dalam diri anak muda apabila ada segelintir remaja melakukan tindakan biadab dan tidak sopan baru-baru ini, yang mana gambar pemimpin negara dipijak di khalayak. Perkara ini amatlah dikesali kerana anak muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan bertindak di luar batasan. Tindakan itu tidak wajar dan ia bukanlah budaya yang kita terapkan dalam kalangan generasi muda.

Tidak guna bagi kita mempunyai infrastruktur bertaraf kelas pertama tetapi rakyatnya mempunyai mentaliti kelas ketiga, dibuktikan dengan beberapa sindrom negatif seperti tabiat membuang sampah di merata tempat, memandu kurang sopan, kurangnya kesedaran sivik terhadap harta benda awam dan kekasaran terhadap pelanggan.

Semua pihak berganding bahu

Sebelum budaya masyarakat kita terus merosot, kita harus sedar dan mempelajari serta mempraktikkan semula nilai murni dan budi bahasa. Masalah atau gejala sosial yang berlaku pada hari ini, jika diperhatikan amat berkait rapat dengan nilai hidup sesuatu masyarakat, keluarga dan individu.

Dalam usaha ke arah menangani pelbagai masalah sosial yang wujud, ibu bapa perlu sentiasa prihatin serta mengawasi anak mereka, pada masa sama, mempertingkatkan komitmen bagi membina sebuah keluarga yang harmoni, memupuk nilai positif supaya anak mereka menjadi warga negara yang produktif dan sihat dari segala segi sama ada mental dan fizikal.

Pihak kerajaan dan agensinya serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain harus berganding bahu bagi meningkatkan usaha mengatasi masalah sosial yang berlaku pada hari ini dan dirasakan bahawa setiap individu dan ahli keluarga perlu membina kekuatan dalaman sebagai asas utama.

Dalam meningkatkan kekuatan sesebuah keluarga bagi melaksanakan tanggungjawab ke arah menangani masalah sosial, peningkatan kemahiran keibubapaan atau kursus seumpama haruslah dititikberatkan.

Komitmen serta menanam motivasi dalaman untuk membabitkan diri dalam membangunkan akhlak anak dan remaja tidak boleh diabaikan. Sikap dan sistem nilai harus dipupuk kepada setiap anggota keluarga seterusnya bagi memastikan anak dibesarkan dalam suasana harmoni dan baik serta diserapkan nilai murni untuk menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Dengan cara melengkapi ibu bapa mengenai kemahiran tertentu secara langsung dapat memahami keadaan fizikal, mental, kepercayaan terhadap keagamaan emosi dan pembangunan sosiobudaya kepada setiap individu dalam sesebuah keluarga dan ini adalah penting bagi memastikan kejayaan (institusi kekeluargaan) sebagai benteng untuk memerangi masalah sosial dan keruntuhan akhlak.

Utamakan pendidikan

Sungguhpun masyarakat dan negara berbangga dengan kemajuan dan pembangunan ekonomi sekarang, namun kita perlu berhati-hati dan berwaspada dengan apa yang tersembunyi dalam pelbagai rupa masalah sosial. Kemajuan sains dan teknologi sekarang begitu canggih, dengan adanya internet, televisyen satelit serta lebuh raya maklumat, anak dan remaja lebih mudah terdedah kepada maklumat dan perhubungan berunsur positif atau negatif.

Pembangunan dan keupayaan sesebuah keluarga penting dalam mendidik serta membimbing anak hari ini untuk jadi rakyat berguna dan positif bagi menghadapi cabaran pembangunan negara.

Dalam hal mengukuhkan institusi kekeluargaan, kita harus mengambil berat mengenai pendidikan dan kemajuan pelajaran anak. Sikap suka mendengar serta berinteraksi dengan anak secara terbuka dengan memberikan beberapa pandangan supaya dapat meningkatkan pemahaman serta memajukan lagi diri mereka di dalam bidang pelajaran adalah penting.

Generasi muda masa kini mesti aktif, kreatif, inovatif dan membina kekuatan dalaman untuk menempa cabaran dunia yang serba moden nanti. Peranan ibu bapa, guru dan kerajaan penting dalam memastikan wujudnya generasi berwawasan.

Generasi muda juga adalah penggerak kemajuan negara dan semua pihak perlu berusaha supaya generasi muda kita tidak terus hanyut dalam arus masalah sosial yang tidak bermanfaat. Penyelesaian dan pendekatan yang perlu dilaksanakan ialah menerusi program penerapan dan peningkatan nilai murni di kalangan masyarakat, terutama generasi muda kita.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X