Ahad, 4 Oktober 2015 | 12:05am
BAJA dan racun yang digunakan di kawasan pertanian di tepi sungai dipercayai menjadi antara faktor menjejaskan ekosistem dan kemusnahan hidupan air di Sungai Muar. - Foto NSTP
GRAFIK menunjukkan kawasan populasi udang galah Sungai Muar iaitu antara kawasan Sungai di Kampung Sabak Awor dan Kampung Jorak. Bagaimanapun, pencemaran air menjejaskan habitat dan pembiakan udang galah.

Udang galah hampir pupus di Sungai Muar


"DAHULU, kawasan ini memang mempunyai banyak udang galah hingga dapat tiga hingga empat kilogram sehari, tetapi kini, hendak dapatkan seekor dua pun dah susah," kata penduduk Kampung Liang Batu, di Muar, Johor, Ariffin Ahmad, 55.

Ariffin mendakwa, kejadian itu berlaku akibat pencerobohan tanah rizab sungai oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menanam tanaman getah dan kelapa sawit sehingga menyebabkan keadaan air di sungai terbabit mungkin tercemar.

Katanya, kejadian air sungai yang berubah rasa menjadi payau juga turut dianggap berkemungkinan sebagai antara faktor lain yang menyebabkan udang galah seolah-olah sudah pupus di kawasan itu.

"Jika dahulu, kalau pergi menangkap udang galah atau ikan pun sampai berkilo-kilo, tetapi sekarang tak lagi. Mungkin udang dan ikan ini sudah lari ke bahagian hulu agaknya.

"Selain itu, tanaman kelapa sawit dan getah juga dilihat sebagai antara penyebab kejadian ini berlaku. Pemilik ladang terbabit sering menggunakan baja atau racun sehingga menyebabkan kualiti air sudah tidak sesuai untuk pembiakan udang galah," katanya.


TANAMAN termasuk sawit yang terlalu hampir dengan sungai dipercayai antara penyumbang pencemaran berikutan penggunaan baja kimia dan racun. - Foto NSTP

Bagi mendapat gambaran yang lebih tepat, Ariffin turut membawa wartawan BH ke beberapa kawasan di tebing sungai terbabit yang didakwa diceroboh bukan hanya untuk tanaman kontan tetapi juga bagi tujuan pertanian berskala besar.

Pemerhatian BH mendapati dakwaan penduduk, berasas apabila beberapa kebun dan ladang yang terletak di bahagian Kampung Kundang Ulu yang bersempadan dengan Kampung Liang Batu diteroka untuk tanaman terbabit yang berkemungkinan menyebabkan pencemaran Sungai Muar.

Beliau yang kini turut bekerja sebagai pemandu bot penambang berkata, pencerobohan tanah rizab sungai itu boleh dilihat hampir di sepanjang sungai berkenaan.

"Biasanya, tanaman ini kena jauh ..kira-kira 20 meter atau 30 meter dari kawasan sungai, tapi ini sudah betul-betul di tepi sungai," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan.

Sementara itu, peniaga di Pasar Muar, Jefryzal Jamaludin, 35, berkata hasil tangkapan udang galah di Sungai Muar berkurangan berbanding dahulu.


ARIFFIN Ahmad

"Hasil tangkapan udang galah di Sungai Muar ini banyak bergantung pada hujan. Jika kemarau atau sudah lama tidak hujan, udang galah ini dipercayai bergerak ke kawasan hulu untuk mengelak air masin. Populasinya di Sungai Muar sekarang boleh dikatakan sudah 'out'.

"Satu lagi, kualiti udang galah yang ditangkap di kebanyakan kawasan di sungai ini sudah merosot. Leher udang mudah patah sehingga menjejaskan harganya. Paling baik, udang galah yang ditangkap di antara kawasan Sabak Awor hingga ke Jorak, Muar.

"Mungkin di sini, kualiti airnya masih baik, maka udangnya juga lebih bagus dan lebih enak," katanya.

Masalah pencerobohan tanah rizab sungai dan penerobosan air masin juga menjejaskan pendapatan penduduk dari aspek pelancongan.

Aktiviti menangkap udang galah dulu sering diadakan di Sungai Muar dan setiap kali acara itu dianjurkan, ia umpama pesta.

Seorang lagi peniaga Pasar Muar, Mohd Ali Chik, 53, berkata kekurangan udang galah itu juga menyebabkan harga hidupan itu melambung tinggi.


PENIAGA Jefryzal Jamaludin (kiri) dan Mohd Ali Chik.

"Dahulu, harga udang galah cuma RM1 untuk tiga ekor dan harga untuk satu kilogram cuma dalam berbelas ringgit sahaja. Kini, harganya mencanak naik disebabkan kekurangan bekalan.

"Harganya boleh mencecah lebih RM40 sekilogram bagi kualiti gred A dan RM30 sekilogram bagi gred B. Ada ketikanya, seekor udang galah dijual pada harga RM10," katanya sambil menambah kemerosotan kualiti air di Sungai Muar itu turut menjejaskan beberapa spesies ikan.

Selain itu, katanya, Sungai Muar turut dikenali dengan ikan Malim, yang jarang diperoleh di sungai lain. Ikan berduri, berwarna kuning, yang terkenal kerana keenakannya itu juga dikatakan hampir pupus, tambahnya.

Berita Harian X