Ahad, 4 Oktober 2015 | 12:02am

Wanita dan keunikan manik Sarawak


ANTARA manik-manik yang sudah direka dengan corak yang unik serta kreatif. - Foto Jeakqleyn Yacho

MANIK Sarawak bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan, malah turut mendapat permintaan tinggi di peringkat antarabangsa kerana keistimewaan dimiliki yang menggambarkan keunikan kepelbagaian warisan kesenian dan kebudayaan di Kepulauan Borneo.

Lebih menarik, kewujudan koleksi manik itu turut menampilkan pelbagai rekaan bermotifkan identiti pelbagai etnik, khususnya masyarakat pribumi yang mendiami negeri ini.

Bersandarkan kepada potensi besar industri manik, Bandaraya Kuching bakal menjadi tuan rumah kepada penganjuran Persidangan Antarabangsa Manik Borneo 2015 (BIBCo 2015) yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Pelancongan Sarawak, Tebingan Kuching dari 9 hingga 11 Oktober ini.

Ia bertujuan menanam kesedaran dalam kalangan orang ramai terhadap usaha pemuliharaan warisan manik yang menjadi identiti kehidupan masyarakat pribumi di Bumi Kenyalang, selain memupuk minat golongan wanita bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang berkenaan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah, berkata program dwi-tahunan itu adalah platform terbaik bagi golongan wanita di negeri ini mempelajari pelbagai teknik pembuatan manik.

"Kita menggalakkan golongan wanita untuk mengikuti program ini memandangkan ia membantu mereka mempelajari kemahiran itu untuk menceburi bidang keusahawanan berasakan produk kraftangan, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

"Ini kerana kita yakin dengan potensi manik dari Sarawak dapat menembusi pasaran eksport global kerana ia memiliki reputasi baik di luar negara," katanya.


ANTARA koleksi manik yang dijadikan gelang tangan. - Foto Jeakqleyn Yacho

Sepanjang BIBCo 2015 berlangsung, pelbagai program dianjurkan yang terbuka kepada orang ramai merangkumi aktiviti pameran, pembentangan kertas kerja, selain bengkel kemahiran berkaitan pembuatan manik.

Fatimah berkata, penyertaan golongan wanita di negeri ini dalam bengkel kemahiran itu dapat membantu mengasah kebolehan mereka berkecimpung dengan bidang keusahawanan, sekali gus membantu meningkatkan status ekonomi mereka.

"Golongan wanita perlu bijak memanfaatkan peluang disediakan kerajaan bagi mempelajari kemahiran baharu agar dapat dijadikan sumber pendapatan mereka, termasuk dalam bidang berkaitan manik.

"Kita mahu wanita belajar berdikari mencari sumber pendapatan agar mereka dapat menampung kos sara hidup isi rumah yang semakin meningkat. Namun, ini hanya dapat dilakukan berdasarkan kemahiran dimiliki, khususnya dalam pembuatan produk kraftangan," katanya.

Pengarah BIBCo 2015, Heidi Munan, berkata penganjuran persidangan berkenaan bertujuan berkongsi kemahiran bersama masyarakat setempat yang berminat untuk mempelajarinya melalui pakar tempatan dan antarabangsa.


Fatimah (kanan) bersama Heidi (tengah) ketika sidang media BIBCo 2015. - Foto Jeakqleyn Yacho

"Kita menjangkakan sambutan menggalakkan dari masyarakat setempat memandangkan ini bukan kali pertama diadakan, malah program dwi tahunan ini dinanti-nantikan pada setiap kali penganjurannnya, terutama di kalangan golongan wanita dan generasi muda.

"Kita juga mengambil inisiatif untuk menyediakan pakej bayaran serendah RM50 bagi satu sesi bengkel kemahiran manik kepada peserta yang mahu mengambil bahagian bagi menarik lebih ramai penyertaan di kalangan masyarakat setempat," katanya yang juga Kurator Manik Muzium Sarawak.

Antara pakar manik yang menyertai program terbabit adalah Jamey Allen dari Amerika Syarikat, selain Maggie Mueller (Ausralia) dan Khatijah Sanusi (Malaysia).

Heidi berkata, BIBCo 2015 terbuka kepada orang ramai, termasuk pelancong asing yang mahu menyertai aktiviti dianjurkan sepanjang program terbabit mengikut kadar yuran ditetapkan.

Berita Harian X