Khamis, 1 Oktober 2015 | 2:12pm

Rancangan Integrasi Murid Perpaduan diperluas - Mahdzir

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PORT DICKSON: Kementerian Pendidikan bercadang memperluaskan Rancangan Integrasi Murid Perpaduan (RIMUP) pada tahun hadapan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan melahirkan generasi yang mempunyai identiti nasional kukuh dan pada masa sama, menghormati kepelbagaian kaum di negara ini.

Katanya, kementerian juga akan mempelbagaikan program RIMUP supaya lebih ramai murid pelbagai kaum dan aliran sekolah berpeluang berinteraksi melalui aktiviti integrasi atau perpaduan.

"RIMUP boleh menjadi model untuk memupuk perpaduan yang penting untuk membantu mengekalkan kestabilan, kemajuan dan tamadun di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Program Kem Perpaduan Malaysia, Pertandingan Tarian dan Perhimpunan Perpaduan RIMUP peringkat Kebangsaan 2015 di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, negara memerlukan program yang holistik dan berterusan menyebabkan RIMUP amat sesuai kepada semua pelajar yang perlu didedahkan dengan perpaduan sejak peringkat awal.

Selain itu, katanya, kementerian bersetuju untuk memberi peruntukan lebih besar pada tahun hadapan supaya program RIMUP dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Berita Harian X