Khamis, 1 Oktober 2015 | 1:59pm

Editor Sastera BH terima Anugerah Citra Sahabat DBP

MADINAH (kiri) menyampaikan Anugerah Citra Sahabat DBP 2015 kepada Mohd Nazmi pada majlis Majlis Hari Inovasi DBP yang berlangsung di Auditorium DBP, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
MADINAH (kiri) menyampaikan Anugerah Citra Sahabat DBP 2015 kepada Mohd Nazmi pada majlis Majlis Hari Inovasi DBP yang berlangsung di Auditorium DBP, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Editor Sastera BH, Mohd Nazmi Yaakub menerima Anugerah Citra Sahabat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kategori individu bersempena Majlis Hari Inovasi DBP yang berlangsung di Auditorium DBP, di sini, pagi tadi.

Anugerah berkenaan adalah antara enam kategori baharu berkaitan inovasi yang diwujudkan DBP bagi mengiktiraf dan menghargai individu, pertubuhan, sektor awam, sektor swasta, wartawan dan agensi media yang memainkan peranan penting dan berkesan dalam membantu DBP memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu.

Ia disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Md Salleh Yaapar; Ketua Pengarah DBP, Datuk Awang Sariyan; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Prof Dr Zaharani Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shaharudin.

Madinah, dalam acara sama, turut melancarkan e-buku DBP yang boleh dibeli melalui portal e-Sentral, www.e-sentral.com dan bookcapital.my, masing-masing hasil kerjasama dengan Xentral Methods Sdn Bhd serta Perbadanan Kota Buku.

Sementara itu, Awang dalam ucapan aluannya, berkata sebagai badan yang menggalas amanah mengembangkan bahasa Melayu, DBP perlu berani menyanggah pendekatan konvensional dengan menampilkan inovasi dan idea yang di luar daripada kebiasaan.

Beliau berkata, inovasi dapat memperhebat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan DBP, sekali gus membantu untuk menjimatkan masa dan kos yang bukan saja memanfaatkan agensi itu, bahkan memberi kebaikan kepada pelanggan.

"DBP turut melakukan inovasi sosial dengan memperluas saluran dan akses masyarakat kepada perkhidmatan kami seperti saranan Perdana Menteri, dengan mewujudkan kedai buku mini, Ujana Buku sebagai satu inovasi dalam pemasaran produk DBP termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Sebagai sokongan kepada perkhidmatan ini, DBP juga akan memulakan khidmat penghantaran cepat menggunakan motosikal tidak lama lagi bagi memudahkan orang ramai yang mahu membuat pesanan buku," katanya.

Awang berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada strategi DBP memulih imej dan mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap keupayaannya terutama selepas pengambilalihan fungsi komersial yang diswastakan kepada Syarikat Dawama Sdn Bhd sebelum ini. "Sepanjang setahun pengambilalihan ini, berlaku peningkatan apabila jumlah saluran edaran dan jualan DBP di seluruh negara mencecah 2, 364 outlet.

"Buku DBP juga boleh turut diperoleh di laman sesawang, buku.dbp.com; koopdbp.com.my;lazada.com.my dan 11street.my," katanya

Berita Harian X