Sabtu, 26 September 2015 | 12:19pm

Kolum Apa Kata: Saingan EPL minggu ini dijangka lebih panas, bergelora

Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) seharusnya menghadirkan saingan lebih panas dan bergelora, minggu ini, jika melihat kepada situasi yang berlaku sepanjang tujuh atau lapan hari lalu.

Pendahulu liga, Manchester City yang sebelum ini menang semua lima aksi awal, minggu lalu menerima tamparan hebat apabila tumbang mengejut kepada West Ham United, 2-1 dan ironinya, ia berlaku di laman sendiri.

Pertembungan dua gergasi, Chelsea dan Arsenal pula yang berkesudahan skuad The Blues menang 2-0, diakhiri dengan suasana kontroversi manakala pencabar kejuaraan, Liverpool terus terumbang-ambing apabila hanya mampu terikat 1-1 dengan Norwich City di Anfield.

Pun begitu bagi aksi minggu ini, City seharusnya kembali bersemangat apabila berkunjung ke White Hart Lane bertemu Tottenham Hotspur selepas mengenepikan Sunderland, 4-1 dalam pusingan ketiga Piala Liga pada pertengahan minggu ini.

Namun, skuad didik Mauricio Pochettino yang menewaskan Crystal Palace minggu lalu, harus tampil garang apabila menyambut anak buah Manuel Pellegrini, jam 7.45 malam ini, selepas dikecewakan Arsenal, 2-1, dalam saingan Piala Liga pertengahan minggu.

Buat penyandang juara, Chelsea, fokus pengendali mereka, Jose Mourinho mungkin sedikit terganggu selepas mereka dihambat isu Diego Costa digantung tiga aksi, selain bekas pegawai perubatannya, Dr Eva Carneiro tampil melayangkan saman buat dirinya.

Namun, penulis berasakan situasi itu tidak menghalang skuad The Blues untuk mengutip mata penuh apabila berkunjung ke St James Park bertemu Newcastle United yang kini berdepan krisis di bawah kendalian Steve McClaren.

Liverpool pula yang gagal menang empat aksi liga sebelum ini selain hanya mampu mengenepikan pasukan tercorot Liga Kedua, Carlisle pada pusingan ketiga Piala Liga menerusi penentuan penalti, harus membenam Aston Villa di Anfield malam ini.

Brendan Rodgers jelas kini tiada pilihan. Peminat The Reds sudah semakin tidak dapat membendung amarah. Kegagalan di laman sendiri malam ini harus mampu menyingkirkannya tatkala nama bekas pengendali Borussia Dortmund, Jürgen Klopp dan Carlo Ancelotti (Real Madrid) dilapor sedia tampil menggantikannya.

Manchester United pula yang menyambut kunjungan Sunderland malam ini, dijangka tiada masalah mengutip mata penuh, sambil tumpuan harus terarah kepada ayam tambatannya, Anthony Martial yang disandarkan untuk meledak lagi.

Pun begitu, pertembungan Leicester City-Arsenal malam ini harus juga mencuri perhatian kerana skuad Claudio Ranieri tidak pernah kalah setakat ini. Sebarang kesilapan percaturan Arsene Wenger mampu mengundang padah. Selamat menonton.

Penulis adalah Penolong Pengarang Sukan BH

RAMALAN MINGGU KE-7

Tottenham Hotspur 1 Manchester City 2

Liverpool 2 Aston Villa 1

Southampton 1 Swansea City 1

Leicester City 1 Arsenal 1

Manchester United 5 Sunderland 0

Stoke City 1 Bournemouth 1

West Ham United 2 Norwich City 1

Newcastle United 0 Chelsea 5

Watford 1 Crystal Palace 1

West Bromwich 2 Everton 2

Berita Harian X