Jumaat, 25 September 2015 | 12:06am
TUKUN tiruan ditempatkan di kawasan perairan berhampiran Taman Negara Similajau, di Bintulu, Sarawak.
SEBANYAK 1,500 tukun tiruan ditempatkan di kawasan perairan berhampiran Taman Negara Similajau, di Bintulu, Sarawak, bertujuan mewujudkan tempat perlindungan dan pusat pembiakan pelbagai spesies hidupan marin.

Projek BEACON pulihara terumbu Sarawak


SEJAK Program Biodiversiti, Alam Sekitar dan Pemuliharaan (BEACON) dilaksanakan tiga tahun lalu, keberkesanannya cukup terbukti dalam membantu usaha pemuliharaan khazanah alam semula jadi dan kepelbagaian sumber biologi di Sarawak.

Justeru, usaha terus dipergiatkan dalam mendukung pelaksanaan program berkenaan, dengan penumpuan kali ini pada pemuliharaan kawasan terumbu karang membabitkan kerjasama kerajaan negeri melalui Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG).

Sejumlah RM4.6 juta diperuntukkan bagi tujuan itu, termasuk bagi membiayai kos pembuatan 1,500 tukun tiruan, yang ditempatkan di kawasan perairan berhampiran Taman Negara Similajau, di Bintulu, Sarawak, bertujuan mewujudkan tempat perlindungan dan pusat pembiakan pelbagai spesies hidupan marin.

Ia juga sebahagian daripada usaha mewujudkan `laluan masuk' kepada beberapa spesies penyu terancam, termasuk penyu hijau (Chelonia mydas) untuk mendarat di pesisir pantai taman negara itu, seterusnya menjadi kawasan terbabit sebagai lokasi bertelur.

Pengurus Besar (Operasi) MLNG, Bita Ata, berkata kehadiran tukun tiruan itu turut berperanan menghalang aktiviti nelayan pukat tunda yang dikesan sering menceroboh kawasan perairan terbabit.

PENYELAM mengumpul dan membersihkan terumbu karang yang terjejas akibat aktiviti pukat tunda haram. - Foto Kandau Sidi

"Program BEACON adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) MNLG dalam memulihara alam semula jadi ke arah mewujudkan keseimbangan ekosistem. Malah, melalui program itu juga, kita mahu mendidik dan memberi kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai kepentingan pemuliharaan alam semula jadi.

"Ini termasuk implikasi negatif yang bakal berlaku di sebalik kemusnahan alam semula jadi, termasuk bekalan sumber marin kepada kita untuk jangka masa panjang. Justeru, adalah penting untuk masyarakat turut sama menggalas tanggungjawab memulihara alam semula jadi," katanya kepada BH, di sini, baru-baru ini.

Beliau sebelum itu menyertai Program BEACON - Operasi Pembersihan Terumbu Karang dan Pantai Taman Negara Similajau, yang turut disertai 165 sukarelawan, termasuk Residen Bintulu, Muhammad Yakup Kari.

Selain MNLG, beberapa anak syarikat PETRONAS, termasuk Petronas Carigali dan Asean Bintulu Fertilizer (ABF), turut terbabit dalam inisiatif itu, di samping embaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.

SUKARELAWAN yang terbabit dalam program pemuliharaan terumbu karang di kawasan perairan berhampiran Taman Negara Similajau.

Mengulas lanjut, Bita berkata, bermula tahun depan pelaksanaan projek itu akan terus diperkukuhkan melalui pembinaan Bangunan Pemuliharaan, Pendidikan, Promosi dan Kesedaran (CEPA) di Taman Negara Similajau.

"CEPA bertujuan menyemai keperluan umum, terutama dalam kalangan generasi baharu berhubung keperluan melindungi alam sekitar, termasuk usaha menghapuskan sumber pencemaran di persekitaran mereka," katanya.

Sementara itu, Muhammad Yakup ketika ditemui memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat tertarik dengan keindahan pelbagai spesies flora dan fauna yang terdapat di Taman Negara Similajau, dalam lawatan rasmi baginda, Mac tahun lalu.

Malah, baginda turut bertitah supaya kawasan itu sentiasa dijaga rapi memandangkan ia satu-satunya taman negara di Malaysia yang terletak di kawasan strategik, dengan kedudukannya hanya 20 minit menaiki kenderaan dari bandar berhampiran, selain memiliki pelbagai spesies flora dan fauna terancam.

SUKARELAWAN membantu usaha memulihara terumbu karang di kawasan perairan berhampiran Taman Negara Similajau.

Diwartakan pada 1978, Taman Negara Similajau, yang berkeluasan 7,064 hektar mempunyai pesisir pantai tercantik di Malaysia, dengan keunikan pasir putih dan kawasan berbatu yang tidak tercemar menghadap Laut China Selatan.

Di taman negara ini, terdapat sekurang-kurangnya 24 spesies mamalia yang mungkin sukar ditemui di tempat lain, termasuk buaya air tawar, selain ungka, langur berbelang dan kera berekor panjang.

Taman Negara Similajau juga menjadi habitat sekurang-kurangnya 230 spesies burung eksotik, termasuk Burung Kenyalang, yang menjadi ikon kebanggaan negeri ini, selain burung air, Storms Stork, yang sering berhijrah.

Malah, jika tuah menyebelahi, pengunjung ke kawasan itu juga berpeluang melihat ikan lumba-lumba berenang meredah ombak atau penyu naik ke darat untuk bertelur.

Berita Harian X