Khamis, 24 September 2015 | 4:38pm

Imam maut ketika solat sunat Aidiladha


IMAM Masjid Kampung Temeris, A Karim Ismail, menghembuskan nafas terakhir ketika sujud semasa mengimamkan solat sunat Aidiladha. - Foto Amran Yahya

bhonline@bh.com.my

KUALA PILAH: Seorang imam menghembuskan nafas terakhir ketika mengimamkan solat sunat Aidiladha, di sini, dipercayai akibat serangan jantung.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi di Masjid Kampung Temeris, di sini, A Karim Ismail, 66, dikatakan terbatuk dan mengerang kesakitan pada tahiyat akhir, sebelum rebah tidak sedarkan diri.

Anaknya, Amran, 40, berkata seorang makmum di belakang bapanya segera mengambil alih tugas imam dan memberi salam bagi menamatkan solat berkenaan.

"Kami kemudian meluru ke arah ayah dan mendapati dia tidak sedarkan diri. Kami segera menghantarnya ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, namun dia disahkan sudah meninggal dunia," katanya.

Amran berkata, beliau dan ibunya, Napsiah Ahmad, 64, berada di masjid dan mereka terkejut dengan kejadian itu.

Katanya, bapanya sudah lama menghidap penyakit jantung, justeru mereka percaya kematiannya disebabkan serangan penyakit itu.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian ayah yang terkenal sebagai seorang lelaki yang baik dan disenangi orang kampung," katanya.

Beliau berkata, jenazah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temeris selepas solat Asar.

Ketua kampung itu, Mohd Yunus Abdullah, 64, berkata beliau menyedari sesuatu yang pelik kerana imam sujud lebih lama daripada biasa dan terkejut apabila mengetahui dia meninggal dunia tidak lama kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Luqman Abd Rahman, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Berita Harian X