Khamis, 24 September 2015 | 12:14am
SEKUMPULAN 37 penyelam berpengalaman dari pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta melaksanakan operasi pembersihan sisa pukat tunda di Terumbu Karang Patricia. - Foto Kandau Sidi
PEMANDANGAN indah di pesisir pantai Bintulu. - Foto Kandau Sidi

Terumbu Karang Patricia hampir 'tenat'


JIKA Sabah berdepan isu penggunaan bom ikan yang serius, Sarawak pula dihantui kegiatan pencerobohan nelayan asing menggunakan bot pukat tunda sehingga mengakibatkan kemusnahan terumbu karang di perairan negeri ini.

Malah, tindakan melampau nelayan asing itu turut menjejaskan hidupan marin kerana sisa pukat tunda yang tersangkut pada batu karang boleh mengganggu proses pembiakannya jika tidak dibersihkan segera.

Atas kesedaran itu, sekumpulan 37 penyelam berpengalaman dari pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta di negeri ini mengambil inisiatif melaksanakan operasi pembersihan sisa pukat tunda di Terumbu Karang Patricia, kira-kira 12 batu nautika dari pesisir pantai Bintulu, baru-baru ini.

Ia sebahagian daripada aktiviti dianjurkan sempena Program Biodiversiti, Alam Sekitar dan Pemuliharaan (BEACON) - Operasi Pembersihan Terumbu Karang dan Pantai Taman Negara Similajau, yang dianjurkan Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

Pakar Biologi Marin JHS, James Bali, berkata kebanjiran nelayan asing, khususnya yang menggunakan bot pukat tunda di perairan negeri ini jelas menjadi ancaman besar pada hidupan maritim, khususnya terumbu karang.

KUMPULAN 37 penyelam merakam gambar kenangan sebelum memulakan aktiviti. - Foto Kandau Sidi

Justeru, katanya, operasi pemantauan dan penguatkuasaan agensi berkaitan perlu dipertingkatkan bagi membendung kegiatan itu yang dikhuatiri boleh mendatangkan banyak implikasi negatif kepada kepelbagaian sumber biologi, khususnya hidupan maritim.

"Bagi JHS, kita mengambil inisiatif melaksanakan operasi pembersihan sisa jaring (pukat tunda) yang tersangkut pada terumbu karang. Ini tentunya membabitkan kos yang tinggi, lebih-lebih lagi memerlukan khidmat penyelam berpengalaman dan terlatih.

"Namun, misi ini bukan sesuatu yang mustahil dengan adanya kesedaran dalam kalangan sektor korporat, khususnya MNLG, yang banyak membantu kita melaksanakan operasi pemuliharaan alam sekitar, termasuk pembersihan terumbu karang ini," katanya dalam pertemuan bersama BH, baru-baru ini.

Katanya, Program BEACON jelas membuktikan hubungan erat antara agensi kerajaan dan sektor swasta dalam melaksanakan usaha pemuliharaan dan pembiakan terumbu karang di perairan negeri ini, khususnya di Bintulu, Miri dan Sematan.

"Ia juga bermatlamat mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan melindungi dan memulihara alam sekitar, selain tidak melakukan pencemaran sewenang-wenangnya," katanya.

Sementara itu, Residen Bintulu, Muhammad Yakup Kari, berkata aktiviti pencerobohan bot pukat tunda di kawasan perairan negeri ini, terutama di wilayah tengah dan utara Sarawak perlu dihentikan segera.

PENYELAM melaksanakan operasi pembersihan sisa pukat tunda di Terumbu Karang Patricia, kira-kira 12 batu nautika dari pesisir pantai Bintulu. - Foto Kandau Sidi

"Tindakan nelayan asing itu boleh memusnahkan terumbu karang, sekali gus menjejaskan habitat semula jadi pelbagai spesies hidupan laut. Pejabat Residen Bintulu sedang mengadakan perbincangan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk membendung kegiatan itu.

"Malah, isu ini juga sudah dibawa kepada perhatian Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong Khing Sing, untuk sama-sama mencari ikhtiar terbaik dalam menangani masalah pencerobohan nelayan asing berkenaan," katanya.

Pada masa sama, katanya, kesedaran orang ramai juga perlu dipupuk supaya sentiasa memulihara alam sekitar.

"Perlu diingatkan perbuatan membuang sampah ke dalam sistem saliran juga boleh menjejaskan hidupan maritim apabila ia hanyut ke laut. Ini mungkin nampak remeh, namun implikasinya cukup besar terhadap kehidupan kita," katanya.

SEJUMLAH RM4.6 JUTA DIPERUNTUKKAN MENERUSI PROGRAM BEACON BAGI MEMULIHARA TERUMBU KARANG. IKUTI SIRI SETERUSNYA, ESOK.

Berita Harian X