Selasa, 22 September 2015 | 12:04am
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Ismail Othman. - Foto Nor Shafinaz Sari
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Ismail Othman. - Foto Nor Shafinaz Sari
YANG Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk Murad Husin. - Foto Arifin Salleh
YANG Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk Murad Husin. - Foto Arifin Salleh
PENGARAH Urusan Institut Terjemah & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron . - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGARAH Urusan Institut Terjemah & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron . - Foto Zunnur Al Shafiq
KETUA 1 GAPENA, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar. - Foto Amirudin Sahib
KETUA 1 GAPENA, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar. - Foto Amirudin Sahib
TINJAUAN papan iklan yang tidak menggunakan bahasa Melayu di sekitar SS15, Subang Jaya.
TINJAUAN papan iklan yang tidak menggunakan bahasa Melayu di sekitar SS15, Subang Jaya.
TINJAUAN kesilapan penggunaan perkataan pada papan tanda di sekitar SS15 Subang Jaya.
TINJAUAN kesilapan penggunaan perkataan pada papan tanda di sekitar SS15 Subang Jaya.

Penguatkuasaan longgar punca bahasa rasmi terpinggir


KERAJAAN perlu mengambil tindakan penguatkuasaan tegas bagi memastikan bahasa Melayu yang termaktub sebagai bahasa rasmi negara berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan, dapat terus dimartabatkan.

Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata penguatkuasaan yang longgar ketika ini menyebabkan bahasa Melayu bukan saja terpinggir, bahkan tidak dihormati seperti yang sepatutnya.

Katanya, sebagai pelaksana dasar, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap kementerian, agensi kerajaan dan swasta yang tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya seperti yang sudah digariskan.

"Kita ada Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, yang mewajibkan papan iklan menggunakan bahasa Melayu. Tetapi sehingga kini, masih banyak papan tanda yang menggunakan hanya bahasa Inggeris dan Mandarin berikutan penguatkuasaan yang longgar.

"Jangan jadi penghancur bahasa Melayu dengan mengiyakan mentaliti penjajah yang memandang hanya bahasa Inggeris sebagai bahasa yang hebat, sedangkan bahasa Melayu juga berupaya menjadi bahasa komunikasi dan ilmu," katanya ketika dihubungi BH.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan di BH semalam, mengenai situasi semasa bahasa Melayu yang menyaksikannya dipinggirkan khususnya oleh sektor swasta.

KETUA Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Awang Sariyan . - Foto Yahya Awang
KETUA Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Awang Sariyan . - Foto Yahya Awang

Awang berkata, peminggiran itu menyebabkan bahasa Melayu bukan saja masih tidak mencapai tahap yang sewajarnya, malah masih jauh dalam merealisasi matlamat untuk diangkat sebagai bahasa rasmi negara.

Abdul Latiff berkata, apa yang amat menyinggung perasaan pejuang bahasa adalah bagaimana bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan di negara ini, tidak diendahkan peranannya oleh sesetengah pihak.

"Mereka berpura-pura dengan semangat patriotik tetapi tidak memiliki jiwa dan perasaan pada bahasa Melayu sehingga tidak memandang langsung peranannya sebagai bahasa rasmi.

"Mereka enggan bertutur dalam bahasa Melayu kerana ia dianggap seolah-olah menjatuhkan martabat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, berkata setiap lapisan masyarakat di negara ini perlu sama-sama mengangkat darjat bahasa Melayu bagi memastikan ia tidak terpinggir.

"Penghormatan kepada sesuatu bangsa hanya boleh diberikan orang lain kepada kita sekiranya kita sendiri mengangkat bahasa Melayu itu tetapi bagaimana itu akan berlaku jika kita sendiri malu-malu menuturkannya?

"Negara besar seperti Jerman dan Perancis bangga menuturkan bahasa mereka walaupun dalam persidangan dan acara besar di luar negara mereka.

 KETUA Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
KETUA Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Dengan peranan jurubahasa, tidak timbul soal bahasa kita tidak boleh difahami masyarakat luar, malah ITBM sendiri menggunakan bahasa Melayu ketika melancarkan buku kami, termasuk di Tokyo dan Korea Selatan," katanya.

Beliau berkata, bahasa ialah lambang keperibadian yang sepatutnya diangkat, apatah lagi ia bukan saja dituturkan masyarakat Melayu di negara ini, malah digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, menafikan bahasa Melayu terpinggir kerana penggunaannya masih meluas dalam sektor pendidikan, kerajaan dan percakapan seharian rakyat.

Malah, beliau yang juga yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, berkata institusi pendidikan masih berpegang kepada dasar yang diperkenalkan oleh bekas Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris supaya kedua-dua bahasa dapat dikuasai dengan baik.

"DBP juga telah menjalankan tugas mereka dengan baik dalam audit bahasa di agensi kerajaan, namun ada sesetengah sektor seperti syarikat swasta atau syarikat multinasional, yang lebih memerlukan penggunaan bahasa Inggeris ketika berurusan membabitkan pelanggan antarabangsa dan pelabur asing.

"Syarikat ini masih menggunakan bahasa Melayu apabila berurusan dengan syarikat tempatan seperti perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Ismail Othman, menegaskan setiap papan tanda baharu yang tertera ejaan Rumi dan Jawi perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan penggunaan ayat yang tepat.

KESALAHAN ejaan Jawi pada papan tanda di Melaka, yang mendapat banyak reaksi daripada orang ramai. - Foto Nor Shafinaz Sari
KESALAHAN ejaan Jawi pada papan tanda di Melaka, yang mendapat banyak reaksi daripada orang ramai. - Foto Nor Shafinaz Sari

Katanya, syarikat pengiklanan patut merujuk terlebih dahulu rekaan tulisan papan tanda kepada PBT bagi mengelak kesalahan papan tanda seperti dilaporkan berlaku di Taman Teknologi Cheng, Taman Intekma dan Taman Lendu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Datuk Murad Husin, pula berkata pihaknya menetapkan pemaju perumahan supaya mengemukakan dokumen kepada PBT itu sebagai syarat baharu kelulusan pemasangan papan tanda dan nama jalan dalam tulisan Jawi.

"Jika pemaju gagal berbuat demikian, kita akan tangguhkan kelulusan mendapatkan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) sehingga dokumen itu diserahkan. Mengikut undang-undang PBT, mereka boleh dikenakan denda," katanya.

Pemaju yang didapati ingkar dengan arahan selepas diarahkan menukar papan tanda baharu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) atau Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1994.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata kerajaan Kelantan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di samping tulisan Jawi dalam segala urusan di peringkat kerajaan, agensi, sektor swasta dan papan tanda serta iklan.

Katanya, semua urusan rasmi kerajaan dan surat menyurat adalah dalam bahasa Melayu serta tulisan Jawi.

"Kerajaan negeri bersetuju dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berusaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu di samping menghidupkan tulisan Jawi yang kita mula laksanakan pada 1990.

"Sebab itu, setiap papan iklan selain diwajibkan dalam bahasa Melayu ia juga disyaratkan menggunakan tulisan Jawi. Kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah sewajarnya dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu selaras bidang kuasa yang ada.

"Cuma apa yang menjadi masalah, saya lihat pemimpin kerajaan sendiri yang lebih suka bercakap (menggunakan) bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu walaupun bahasa Inggeris mereka tidak begitu baik," katanya.

Berita Harian X