Ahad, 20 September 2015 | 10:15am

Makan ubat, antibiotik hanya atas arahan doktor

SHAH ALAM: Pengambilan antibiotik secara berterusan perlu dielak bagi memelihara imuniti dalam badan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pengambilan antibiotik hanya boleh dilakukan atas nasihat dan saranan doktor.

Katanya, doktor juga tidak wajar memberi antibiotik jika diminta oleh pesakit.

"Ada pengguna mengamalkan pengambilan antibiotik dalam tempoh panjang walaupun tidak diperlukan.

"Amalan ini salah kerana akan memberi kesan terhadap daya ketahanan badan.

"Pengambilan antibiotik berpanjangan akan menjejaskan keupayaan menghapuskan kuman," katanya di sini, semalam.

Dr Subramaniam berkata, jika tubuh seseorang itu tidak berkesan dengan antibiotik, mereka memerlukan antibiotik tahap dua atau tiga yang lebih kuat.

Katanya, itu adalah antara sebab antibiotik cuma boleh diambil atas saranan doktor.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kira-kira 24,000 jenis ubat.

Sementara itu, mengulas kes penyakit anjing gila atau rabies, beliau berkata sembilan individu yang digigit anjing setakat ini sudah diberi vaksin.

Berita Harian X