X
Khamis, 17 September 2015 | 6:46pm

Jerebu buruk halang operasi pembenihan awan di Sarawak

gn4id:9465791

KUCHING: Operasi hari kedua pembenihan awam bagi mengurangkan kesan jerebu di beberapa kawasan di negeri ini tidak dapat dilaksanakan hari ini berikutan keadaan jerebu yang buruk.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, berkata operasi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan dibantu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Lembaga Air Kuching dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak dapat dilakukan atas faktor keselamatan kerana jerebu buruk sejak pagi tadi.

"Operasi pembenihan awam tidak dapat dilakukan hari ini atas faktor keselamatan pesawat. Kita dimaklumkan bahawa operasi pembenihan awam hari ini tidak dapat dilakukan kerana jarak penglihatan tidak membolehkan pesawat melakukan operasi berkenaan.

"Selain itu, tiadanya awan yang sesuai untuk melakukan operasi itu hari ini," katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Jabu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengadakan mesyuarat hampir sejam bersama-sama Pengawal Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak Peter Sawal dan wakil Majlis Keselamatan Negara Sarawak di Wisma Bapa Malaysia.

Mengulas mengenai penutupan 463 sekolah rendah dan menengah di tujuh daerah hari ini, Jabu berkata ia adalah proses biasa sekiranya jerebu menghampiri Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat.

"Arahan tutup sekolah dikeluarkan bagi memastikan kesihatan murid-murid tidak terjejas. Kita akan terus pantau IPU dan tentukan sama ada esok, sekolah akan terus ditutup atau tidak," katanya.

Sementara itu, Jabu berkata tidak ada kegiatan pembakaran terbuka dikesan di Sarawak, sebaliknya menegaskan jerebu yang dialami di negeri ini berpunca dari Kalimantan, Indonesia.

"Petang ini, IPU menurun kepada paras bawah 200. Kita pantau keadaan kerana angin dari Kalimantan membawa jerebu terus kepada kita di Kuching, Samarahan dan Serian.

"Kita jangka corak angin tidak berubah dengan ketara, jadi kita akan terus pantau IPU kerana masih banyak hotspot di Kalimantan," katanya.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X