Sabtu, 27 September 2014 | 10:01pm
REAKSI kecewa pemain Liverpool selepas pertahanan Everton, Phil Jagielka meledak jaringan penyamaan pada aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

EPL: Jagielka buat The Reds gigit jari

LIVERPOOL: Jaringan penyamaan pertahanan Everton, Phil Jagielka pada masa kecederaan memaksa Liverpool untuk sekadar mengutip satu mata di Anfield selepas seri 1-1 pada aksi tetangga ke-223 Merseyside, sebentar tadi.

Terlebih dulu di depan menerusi jaringan percuma cantik kapten, Steven Gerrard pada minit ke-65, penyokong Liverpool bagaikan tergamam apabila Jagielka menyamakan kedudukan ketika perlawanan memasuki masa kecederaan babak kedua.

Ketika perlawanan seakan memihak Liverpool, serangan bertali arus daripada Everton akhirnya berjaya membuahkan hasil apabila hantaran Aiden McGeady yang ditanduk pemain The Red, Dejan Lovren sebelum disambar Jagielka.

Jagielkan yang tidak dikawal ketika itu tidak melepaskan peluang dengan melakukan rembatan separuh voley kencang pada jarak 25 meter yang mengejutkan pemain The Kop.

Hadir dengan misi ingin menang di laman sendiri selepas kekecewaan minggu lalu, Liverpool memperoleh beberapa peluang terbaik untuk mendahului dan mampu menambah gol kedua seandainya Mario Balotelli lebih tajam.

Keputusan seri di Anfield adalah yang pertama buat The Reds dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dan jelas satu tamparan hebat buat Liverpool yang hanya mencatat dua kemenangan daripada enam perlawanan.

Berita Harian X