Rabu, 16 September 2015 | 11:19pm

Keadaan jerebu semakin baik

PEMANDANGAN di sekitar Pelabuhan Klang kelihatan jerebu beransur pulih hari ini, Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatatkan pada pukul 5.00 petang oleh Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bacaan IPU 90 iaitu pada paras sederhana. - Foto Faiz Anuar

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di negeri-negeri yang terjejas teruk sejak semalam dengan ada yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menghampiri 200, bertambah baik hari ini.

Berikutan itu, Kementerian Pendidikan mengarahkan supaya semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka yang diarahkan tutup semalam, dibuka semula esok.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) malam ini, jumlah kawasan yang mencatat IPU tidak sihat telah menurun kepada 11 setakat pukul 7 malam berbanding 15 pagi tadi.

Bagaimanapun, Muar menjadi kawasan terbaharu yang mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu 101 berbanding 94 petang tadi.

Sepuluh kawasan lain yang mencatat bacaan tidak sihat adalah Bukit Rambai (110), Bandaraya Melaka (115), Balok Baru, Kuantan (103), Tawau (111), Kapit (127), Kuching, Samarahan (161), Sarikei (133), Sibu (128) dan Sri Aman (150).

IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 adalah sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

- BERNAMA

Berita Harian X