Rabu, 16 September 2015 | 12:53am

10 kawasan catat penurunan bacaan IPU setakat 11 malam

KEADAAN di waktu malam di Jalan Pak Katak, Kuala Terengganu dari arah Jambatan Sultan Mahmud ke Batu Enam yang berjerebu dengan bacaan indeks 75 iaitu tahap sederhana. - Foto Imran Makhzan
KEADAAN di waktu malam di Jalan Pak Katak, Kuala Terengganu dari arah Jambatan Sultan Mahmud ke Batu Enam yang berjerebu dengan bacaan indeks 75 iaitu tahap sederhana. - Foto Imran Makhzan

KUALA LUMPUR: Sepuluh lagi kawasan mencatat penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ke kategori sederhana, manakala enam kawasan di Sarawak kekal pada tahap kualiti tidak sihat setakat 11 malam tadi.

Situasi itu menjadikan kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat setakat ini, berjumlah 18 berbanding 28 kawasan yang dicatatkan pada petang tadi.

Kawasan yang mencatat bacaan IPU sederhana adalah Pasir Gudang, Johor (90); Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka di Melaka masing-masing mencatat bacaan 81 dan 82; Nilai (98), Port Dickson (81), Seberang Jaya 2, Perai (82), Pelabuhan Kelang (93), Petaling Jaya (99), Cheras (98) dan Putrajaya (99).

Enam kawasan di Sarawak pula ialah Bintulu (105) dan Kuching (136), Samarahan (140), Sarikei (143), Sibu (121) dan Sri Aman (169).

Pembenihan awan oleh Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan, Jabatan Meteorologi Malaysia, selama tiga hari bermula Selasa di Lembah Klang, selatan Perak, barat Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, selatan dan barat Sarawak adalah bagi mengurangkan jerebu.

Dua pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia berpangkalan di Subang dan Kuching digunakan dalam operasi itu.

IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X