Selasa, 15 September 2015 | 12:02am

Kinabalu kembali didaki selepas gempa bumi

KOTA KINABALU: Selepas kira-kira dua bulan ditutup, 88 pendaki melakukan pendakian pertama di Gunung Kinabalu, semalam, untuk menguji laluan Timpohon Gate ke Laban Rata, sejauh enam kilometer yang siap dibaik pulih, selepas rosak akibat gempa bumi pada 5 Jun lalu.

Kumpulan ekspedisi disertai kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS), malim gunung serta petugas media termasuk wakil BH, berlepas jam 8.15 pagi, sebelum turun semula dari Laban Rata, jam 2 petang,

Gempa bumi bermagnitud 5.9 pada 5 Jun lalu, mengorbankan 18 pendaki termasuk empat malim, manakala banyak kerosakan berlaku di sepanjang laluan pendakian, khususnya di kilometer enam hingga ke puncak gunung tertinggi di Malaysia itu.

Dari jauh, 'susuk tubuh' Gunung Kinabalu yang sebelum ini kelihatan tegap dan gagah, kini seakan tercedera apabila banyak kesan seperti cakar, toreh mahupun calar, jelas pada setiap sudut gunung kebanggaan penduduk Negeri di Bawah Bayu itu.

MASIDI (hadapan dua dari kanan) melepaskan peserta program mendaki Gunung Kinabalu dari Timpohon Gate ke Laban Rata, ekspedisi pendakian pertama di Gunung Kinabalu sejak gempa bumi pada 5 Jun lalu.
MASIDI (hadapan dua dari kanan) melepaskan peserta program mendaki Gunung Kinabalu dari Timpohon Gate ke Laban Rata, ekspedisi pendakian pertama di Gunung Kinabalu sejak gempa bumi pada 5 Jun lalu.

45,000 daki setahun

Sepanjang 51 tahun mengendalikan aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu, TTS menguruskan lebih sejuta pendaki atau 45,000 orang setahun dengan rekod cemerlang, apabila hanya 16 kematian direkodkan sejak 22 tahun lalu.

Ketika tragedi jam 7.30 pagi pada 5 Jun lalu, bongkah batuan besar dari puncak gunung, berguguran jatuh di lereng termasuk laluan pendakian hingga menghempap pendaki serta menutup trek, menyebabkan ratusan yang terperangkap.

Ia termasuk sebuah bongkah batu sebesar lori di laluan SayatSayat dari Kilometer 6 hingga 7 mengakibatkan ia tidak dapat dilalui sepenuhnya serta berisiko tinggi untuk digunakan semula, kecuali pembinaan laluan baharu yang dilencongkan dari situ.

Difahamkan, batu-batu longgar pada laluan terbabit sangat berbahaya apabila hujan kerana terdedah kepada hakisan tanah seterusnya menggelongsor.

Berikutan itu, TTS kini mendapatkan pandangan pakar bagi melencongkan laluan SayatSayat kepada laluan baharu yang turut mengambil kira kemungkinan mampu mengelak runtuhan batu pada masa depan, jika berlaku kejadian tidak diingini.

Via Ferata paling selamat

Satu lagi laluan ke puncak, bakal menjalani proses pembaikan ialah Via Ferata, yang sebelum ini dianggap paling selamat, namun ketika tragedi 5 Jun lalu, batu besar menghempap beberapa murid dari Singapura di situ.

Wartawan BH yang mendaki ke Laban Rata semalam, mendapati kerosakan pada laluan di Kilometer 1.5 dari Timpohon Gate, namun sudah dibaiki dengan pembinaan laluan baharu bersebelahan trek sedia ada.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kerajaan negeri bercadang membuka pendakian dari Timpohon Gate ke Laban Rata mulai 1 September ini, manakala pendakian ke puncak akan ditentukan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal pada Selasa ini.

"Niat kita ialah TTS mempunyai peluang untuk menilai secara keseluruhan apa yang perlu dilaksanakan, selain mendapatkan nasihat dua syarikat berkaitan soal teknikal bagi membantu kerja menaik taraf dan pembaikan laluan ke puncak Gunung Kinabalu.

"Pada masa sama, TTS mendapatkan nasihat pakar teknikal dari Jepun dan Kanada yang diharap dapat membantu kita memilih syarikat teknikal untuk kerja menaik taraf nanti," katanya.

LALUAN DITUTUP

  • Laluan bermula KM 6.0 dekat Pondok Pendant hingga Puncak Low's ditutup
  • Laluan dari Pintu Mesilau hingga Pondok Layang-layang ditutup

LALUAN DIBAIKI

  • KM 1.5 hingga KM2.0 berdekatan Persinggahan Ubah
  • KM 3.5 hingga KM 4.0 berdekatan Pondok Layang-layang
Berita Harian X